{VIDEO} “Dah masuk pun tak serik lagi” Dua lelaki bekas juvana simpan dendam, pukul saksi

Dua lelaki dipercayai bekas pesalah juvana memukul salah seorang saksi kes jenayahnya di sebuah premis menjual alatan memancing di Bandar Baru Bangi, Selangor pada Sabtu.

Berdasarkan informasi yang dikongsikan oleh pengguna Facebook Mustaffa Raof pada Ahad yang mendakwa mangsa merupakan adiknya itu, kejadian tersebut dikatakan berlaku akibat dendam.

“Motif dendam kes lama. Dia masuk juvana sebab adik aku saksi kes dia curi motor. Kepada yang kenal budak ni, bukan kes curi motor je dia buat, ada banyak lagi.

“Bila dah keluar, kebetulan terjumpa adik aku. Dah masuk juvana pun tak serik lagi,” tulisnya.

Menerusi rakaman litar tertutup (CCTV) yang disertakan dalam hantaran itu, mangsa dilihat baru sahaja menghidupkan enjin motosikal miliknya sebelum disepak dari belakang oleh salah seorang suspek.

Manakala, seorang lagi suspek yang memakai topi dilihat muncul dan memukul mangsa secara bertubi-tubi.

Dalam video sama, kedua-dua pelaku itu dilihat memukul mangsa secara bergilir-gilir sebelum dihalang oleh salah seorang orang awam di lokasi kejadian.

Sementara itu, video berkenaan dikongsikan oleh pemilik premis tersebut dan kejadian juga dikatakan sudah dilaporkan kepada pihak polis.

Bagaimanapun, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak polis berhubung kejadian itu setakat ini.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*