Wang bantuan lesap : Guru besar, dua individu dipanggil polis bantu siasatan

Polis telah merakam keterangan seorang guru besar dan dua individu bagi membantu siasatan kehilangan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM109,000 yang dikeluarkan dari sebuah bank di Semenyih Isnin lepas.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata dua individu itu adalah seorang guru dan pekerja restoran tempat pengadu (guru besar) membeli minuman ketika kejadian tersebut.

“Selain tiga individu ini, polis juga akan memanggil pekerja bank tempat wang berkenaan dikeluarkan. Kami tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan orang dalam, bagaimanapun siasatan masih belum menemui sebarang petunjuk,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, hari ini.

Beliau berkata kejadian itu juga tidak dapat dikesan oleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi terlibat.

Pada 16 Jan lepas, media melaporkan pihak polis menerima laporan kejadian itu pada 12.17 tengah hari daripada guru besar berusia 50 tahun itu dan siasatan awal polis mendapati mangsa mengeluarkan wang berkenaan dari sebuah bank di Kampung Baru Semenyih kira-kira 10 pagi sebelum memasukkannya ke dalam sebuah beg.

Mangsa kemudian meletakkan beg tersebut di tempat duduk penumpang hadapan keretanya dan meninggalkan kenderaan itu untuk pergi ke kedai makan bagi membeli minuman.

Namun, sekembalinya ke kereta mangsa mendapati tingkap di bahagian kanan penumpang belakang telah dipecahkan dan beg yang berisi wang telah dicuri.

Sementara itu, mengenai perkembangan siasatan penemuan mayat yang dipotong enam bahagian di tepi jalan di Kilometer 447 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran susur Rawang Selatan, pada Selasa lepas, Sasikala Devi berkata polis akan mendapatkan kerjasama Interpol untuk mengenal pasti identiti mangsa.

“Polis mengesyaki mangsa adalah warga asing sebab tiada kesan suntikan BCG pada mangsa. Kami juga sedang menunggu jika ada mana-mana pihak tampil membuat aduan orang hilang dan disahkan sehingga hari ini tiada sebarang laporan diterima.

“Hasil awal bedah siasat, mangsa dipercayai dibunuh kira-kira 12 jam sebelum dibuang dan ditemukan pengadu di lokasi kejadian,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*