LULUH hati seorang ayah menemui jasad anak perempuannya dalam keadaan tidak sempurna selepas dibunuh oleh jirannya sendiri.
Kejadian kejam itu berlaku di wilayah Tutuyan dekat Boltim, Sulawesi, Indonesia pada Khamis lalu.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Tilfa Azahra Mokoagow pada mulanya dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sebelum ditemui.
Memetik laporan media antarabangsa, TribunNews, mangsa dibunuh oleh suspek, Anita Mamonto yang juga jirannya selepas suspek berkenaan mencuri perhiasan barang kemas yang dipakai mangsa.
Ketua Polis Boltim, Sugeng Setyo Budhi berkata, suspek tinggal berdekatan dengan rumah mangsa.
“Berdasarkan kenyataan Anita, dia sempat memujuk mangsa ke kebun berhampiran untuk memetik sayur-sayuran.
“Suspek kemudiannya membunuh Tilfa di lokasi kejadian sebelum mencuri rantai dan sepasang anting-anting milik mangsa dan menyembunyikan mayat mangsa,” katanya sambil memberitahu, jasad ditemukan pada pukul 7 petang di sebuah kebun kelapa kira-kira 300 meter dari Desa Tutuyan III.
Tambahnya, suspek juga sempat ikut solat jenazah mangsa selepas Isyak dan kemudiannya pulang ke rumah seolah-olah tiada apa yang terjadi.
Ujarnya, suspek telah merancang pembunuhan tersebut tiga hari sebelum kejadian.
“Suspek menggunakan pisau dapur yang sudah diubah suai dan diasah.
“Barang kemas yang dicuri kemudiannya dijual dengan nilai kira-kira 3 juta rupiah (RM905). Suspek turut menggunakan hasil jualan tersebut untuk membeli sebuah telefon pintar dan kad sim,” katanya.
Lebih kejam lagi, mayat kanak-kanak malang itu ditemui dalam keadaan tragis yang mana kepalanya telah dipenggal.
Sementara itu, Ketua Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD), Amrin Palutungan berkata, berdasarkan keterangan keluarga mangsa, Tilfa meninggalkan rumah sekitar pukul 11 pagi Khamis.
Suspek bakal didakwa dan berdepan dengan hukuman bunuh atau penjara selama 12 tahun.
Turut baca :
Leave a Reply