{VIDEO} Negara bukan tempat pemimpin ‘gondol’ kekayaan

Kerajaan akan terus memperkasa usaha untuk meningkatkan lagi keyakinan pelabur luar dengan mengamalkan tadbir urus yang baik dan menjadikan Malaysia bebas rasuah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini memandangkan kerajaan sudah mendapat senarai pelabur dari negara seperti Eropah, Amerika Syarikat, China, India serta beberapa negara sekitar Asia yang akan datang dan melihat sendiri perkembangan di Malaysia khususnya dari aspek ekonomi.

“Kita harap ada tumpuan baharu yang boleh meningkatkan dan memacu pertumbuhan ekonomi lebih meyakinkan. Ini perlu kerana Malaysia adalah negara perdagangan yang selama ini mencatat kadar pertumbuhan ekonomi berdasarkan usaha kita menerima pelaburan domestik dan luar negara.

“Selain kestabilan politik dan tadbir urus yang baik, langkah lain yang harus diambil ialah dengan usaha mempercepat proses kelulusan dengan menjamin bahawa Malaysia ini bukan tempat pemimpin menggondol kekayaan, bukan mencari helah menerima komisen,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 yang disiarkan secara langsung menerusi saluran stesen televisyen tempatan malam tadi.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran tegas tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana penjawat awam serta badan penguat kuasa yang didapati ‘cuai’ dalam menjalankan tugas dengan meneruskan ‘adegan lama’ mengutip habuan dan menetap kos tambahan.

“Saya tidak akan bertolak ansur dengan segala kecuaian yang meroboh dan merosakkan negara selama ini. Saya mohon kerjasama kerana saya tahu sejumlah besar penjawat awam dan kelompok kecil ini mengerti dan faham, dan kelompok ini mesti dihapuskan.

“Mudah-mudahan ada keinsafan, jika tidak tindakan tegas dan keras harus diambil,” kata beliau.

Anwar berkata beliau juga tidak mahu kepincangan politik terus berlarutan dan melihat kedudukan serta jawatan sebagai satu kesempatan untuk ‘memunggah’ kekayaan.

“Saya singgung serangan yang mengatakan seolah-olah kami dalam kerajaan terpalit dalam hal-hal sedemikian, saya nak sebut bahawa sikap kita jelas, badan penguatkuasaan diberikan sepenuhnya untuk memantau,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*