Lelaki maut dirempuh kereta terbabas ketika berlumba

Seorang pengusaha bengkel kenderaan maut selepas dirempuh kereta lumba dalam pertandingan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata Mohd Amir Yusof, 32, disahkan maut ketika mendapat rawatan di Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan akibat kecederaan parah di kepala dan pendarahan paru-paru.

Menurutnya, dalam kejadian jam 3.30 petang itu, dua kereta Proton Satria hilang kawalan akibat bergesel semasa menghampiri garisan penamat.

“Salah satu kereta itu terbabas ke kanan laluan litar lalu memasuki kawasan berumput yang ketika itu terdapat penonton.

“Mangsa yang berada 30 kaki dari laluan litar dirempuh kereta terbabit. Penonton lain yang berada di kawasan berumput sempat melarikan diri dan tidak mengalami kecederaan.

“Mangsa diberikan rawatan segera oleh pasukan pegawai perubatan yang sudah bersedia di kawasan litar sebelum perlumbaan bermula,” kata Mohd Yusri dalam satu kenyataan malam tadi.

Mohd Yusri berkata, mangsa yang parah kemudiannya dibawa ke Hospital Changkat Melintang, namun disahkan meninggal dunia jam 5 petang semalam ketika menerima rawatan di wad kecemasan hospital berkenaan.

Mohd Yusri berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Litar Dato’ Sagor diuruskan oleh sebuah syarikat pengendali yang menyewa dari Majlis Daerah Perak Tengah, manakala penganjur pertandingan hari ini pula menyewa dari syarikat pengendali itu,” katanya.

Rakaman berhubung kejadian itu tular di media sosial.

Lelaki maut dirempuh kereta terbabas ketika berlumba

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*