{VIDEO} KPDN tidak akan berkompromi pembekal seleweng minyak masak bersubsidi

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran kepada syarikat pembekal minyak masak yang diberi lesen membungkus minyak masak bersubsidi, supaya tidak terbabit dalam aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan berkenaan.

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata kementeriannya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat pembekal minyak yang didapati menyeleweng bekalan barangan kawalan itu.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat pembungkusan semula minyak masak yang didapati salah guna, menyeleweng atau menyeludup barang kawalan bersubsidi itu iaitu minyak masak polibeg satu kilogram (kg), ke sempadan.

“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan bekalan barangan kawalan terutama minyak masak bersubsidi di dalam negara sentiasa mencukupi.

“KPDN sudah melancarkan Ops Terjah supaya pegawai dan anggota kementerian dapat kenal pasti dan ambil tindakan segera sekiranya berlaku penyeludupan, penyelewengan atau salah guna terhadap semua barangan bersubsidi terutama minyak masak polibeg satu kg,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau aduan lif rosak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah Fasa 1, Blok Kenyalang.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong, yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan ADUN Simpang Jeram, berkata beliau sempat mengadakan

tinjauan mengejut di pasar selain beberapa kedai runcit di kawasan Perling.

Katanya, dalam tinjauan mengejut itu beliau mendapati bekalan minyak masak bersubsidi ada, namun tidak mencukupi.

“Bekalan minyak masak bersubsidi ada tapi bekalannya terhad untuk dibeli rakyat.

“Begitu juga telur ayam bersubsidi atau gred kawalan memang tiada di pasaran. Kita akan atasi isu ini termasuk mengadakan libat urus dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, peniaga kecil membabitkan golongan B40 diberikan kelonggaran untuk menggunakan minyak masak polibeg bersubsidi satu kg yang dijual di pasaran.

Turut baca :

“Kita dapati peniaga kecil yang terbabit industri kecil dan sederhana (IKS) turut membeli minyak masak paket bersubsidi untuk berniaga.

“Mereka yang juga golongan B40 ini, kita berikan kelonggaran untuk gunakan minyak masak paket bersubsidi.

“Malah, satu mekanisme sudah dicadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya peniaga IKS ini dapat terus menggunakan minyak masak paket bersubsidi selepas pengenalan subsidi bersasar nanti,” katanya.

Salahuddin turut menggesa anggota penguatkuasa KPDN supaya mengambil langkah mesra rakyat dalam menegur peniaga yang melakukan kesalahan kecil.

“Kita perlu faham, golongan peniaga kecil kini dalam tempoh pemulihan selepas pandemik COVID-19. Anggota penguatkuasa boleh memberi nasihat dan teguran dahulu sebelum sebarang tindakan saman atau undang-undang diambil.

“Namun begitu, KPDN tiada kompromi bagi peniaga yang didapati melakukan kesalahan serius aktiviti terutama penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*