SHMMP : 3,255 premis perniagaan seluruh negara diperiksa, hanya satu gagal letak tanda merah jambu

Sebanyak 3,255 premis perniagaan diperiksa sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas (SHMMP) 2022 bermula 23 hingga 27 Disember lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 58 pemeriksaan dilakukan terhadap premis borong dan 3,197 pemeriksaan dilakukan ke atas premis runcit di seluruh negara.

Sepanjang tempoh pelaksanaan skim itu, hanya satu tindakan undang-undang diambil terhadap peniaga yang didapati gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu.

Beliau menerusi satu kenyataan memaklumkan, KPDN juga tidak menerima sebarang aduan berkaitan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas.

“Sebanyak 11 jenis barangan harga terkawal berserta harga maksimum diwartakan bagi pelaksanaan itu.

“Bagi membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan, pegawai penguatkuasa KPDN membuat pemantauan di pasar awam, pasaraya dan premis perniagaan yang menjadi tumpuan pengguna untuk membeli-belah”, katanya.

Berdasarkan pemantauan KPDN dan maklum balas orang ramai, pelaksanaan skim berkenaan berjalan dengan baik dan lancar serta tiada kenaikan harga dikesan selepas ia berakhir.

“Jalinan kerjasama serta penambahbaikan yang dibuat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama agensi di bawahnya termasuk pihak berkuasa tempatan, pengeluar, pemborong, peruncit, dan pengguna sepanjang pelaksanaan SHMMP Krismas 2022 merupakan punca kejayaan skim ini,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*