Polis siasat 16 kes tipu Rumah Mampu Milik Johor

Polis Johor sedang menjalankan siasatan terhadap 16 daripada 19 kes penipuan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang dilaporkan dari Mei hingga Oktober tahun lalu membabitkan kerugian RM122,000.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata setakat ini tiga kes sudah dituduh di Mahkamah Johor Bahru pada awal bulan lalu membabitkan seorang lelaki berusia 55 tahun.

Bagaimanapun katanya lelaki itu tidak mengaku bersalah dan kes berkenaan akan disebut semula pada 15 Januari ini.

“Semua mangsa sebelum ini hanya menyedari mereka ditipu selepas tidak mendapat maklum balas berkenaan rumah yang dijanjikan.

“Mangsa juga mendapati nama mereka tidak tersenarai atau didaftarkan selepas melakukan semakan dengan pihak perumahan dan kerajaan tempatan.

“Susulan daripada siasatan yang dijalankan, pada Oktober tahun lalu polis mengenal pasti lelaki terbabit yang menjalankan aktiviti tawaran RMMJ sebelum dituduh di mahkamah bulan lalu atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan iaitu menerima harta curi dengan cara menipu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata siasatan mendapati suspek menggunakan satu ejen untuk berurusan dan membuat tawaran RMMJ kepada mangsa.

Turut baca :

Katanya, mangsa menerima tawaran daripada ejen yang mereka kenali yang mendakwa boleh mendapatkan RMMJ daripada seorang individu lain yang menggunakan gelaran ‘Datuk’ menerusi konsep sewa beli.

“Konsep yang digunakan untuk menipu mangsa itu menawarkan bayaran balik bulanan serendah RM1,000 bagi rumah yang berharga melebihi RM500,000.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu akan dikenakan bayaran deposit RM3,000 hingga RM10,000 bagi sebuah rumah untuk tujuan proses dan kelulusan pihak berkuasa.

“Polis menyeru orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menjalankan urusan jual beli terutama yang ditawarkan harga yang murah dan sukar dipercayai,” katanya.

Semalam, EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor mendedahkan sebanyak 19 kes penipuan yang menyamar sebagai ejen perumahan dikesan membabitkan kerugian bernilai RM122,000 direkodkan pada tahun lalu.

Mohd Jafni dilaporkan berkata penyamar ejen perumahan itu menjanjikan 19 mangsa untuk memiliki RMMJ dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan pembayaran deposit antara RM500 hingga RM5,000 terhadap mangsa yang dikenali menerusi rakan terdekat.

Polis siasat 16 kes tipu Rumah Mampu Milik Johor

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*