{VIDEO} Kereta pemilik bengkel dilarikan di depan mata

Seorang pemilik bengkel kenderaan berputih mata apabila keretanya dilarikan di depan matanya oleh seorang lelaki di Jalan Utarid U5/3 Taman Mutiara Subang, Shah Alam, dekat sini, Jumaat lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.15 petang, selepas kira-kira 15 minit lelaki itu meletakkan Volkswagen MK6 GTI berwarna merah di hadapan kedainya dalam keadaan berkunci.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, berkata pengadu yang berusia 37 tahun kemudian terdengar enjin keretanya dihidupkan dan terus bergerak laju.

“Pengadu perasan ada seorang lelaki melarikan keretanya dan cuba mengejar kereta itu dengan menunggang sebuah motosikal bersama seorang rakan tetapi gagal.

“Pengadu terus cuba mengejar dan nampak kereta itu terperangkap dalam kesesakan berhampiran stesen minyak Petronas Subang Bestari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shafa’aton berkata, pengadu berlari ke arah kereta berkenaan dan sempat memecahkan cermin hadapan kereta tetapi suspek terus memecut kereta melarikan diri sehingga terlanggar beberapa kenderaan lain.

Katanya, suspek berjaya meloloskan diri sebelum menghala ke Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati, suspek turun dari sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kelabu dan masuk ke dalam kereta pengadu sebelum melarikan kenderaan itu.

“Kita sudah merekod keterangan beberapa saksi kejadian untuk membantu siasatan dan pada masa ini, usaha mengesan suspek serta kenderaan itu sedang dibuat,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular satu hantaran video di TikTok menunjukkan kronologi kejadian itu termasuk rakaman CCTV di tempat kejadian serta rakaman awam ketika pengadu cuba memecahkan cermin keretanya dengan topi keledar.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*