Rafizi : Wan Fayhsal berbohong dalam Dewan Rakyat, PH tak janji hapus hutang PTPTN dalam manifesto

PH tidak pernah berjanji untuk menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam manifestonya untuk PRU15, seperti yang didakwa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, kata Rafizi Ramli.

Ahli Parlimen Pandan, yang juga timbalan presiden PKR itu menyifatkan kenyataan Wan Ahmad Fayhsal, Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Machang, di Dewan Rakyat berhubung perkara itu sebagai “satu pembohongan”.

Susulan itu, Rafizi berkata, beliau akan mengusulkan supaya Dewan Rakyat mengambil tindakan terhadap Wan Ahmad Fayhsal kerana didakwa membuat kenyataan yang mengelirukan dan perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“YB Machang sebelum ini menyatakan bahawa dalam manifesto PH sebelum ni (janji) menghapuskan PTPTN, itu satu pembohongan kerana tak ada janji tu dalam manifesto PH baru-baru ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

“Peraturan 36(12) menyatakan mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dewan disifatkan menghina majlis dan ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Saya minta Dewan ambil tindakan.”

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Noor kemudian meminta Rafizi mengemukakan usul berkenaan secara bertulis.

Terdahulu, Rafizi bangkit mencelah sewaktu sesi soalan tambahan daripada Wan Ahmad Fayhsal berhubung usaha kerajaan untuk membantu golongan miskin dan isi rumah B40 dalam pembayaran pinjaman PTPTN.

“Apakah kerajaan ada iltizam politik untuk benar-benar mansuhkan hutang PTPTN ini seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH baru-baru ini?” soal Wan Ahmad Fayhsal

“Sekarang ni, saya pun maklum Pandan (Rafizi) pejuang tegar PTPTN, dan Hang Tuah Jaya (Adam Adli Abdul Halim), aktivis yang benar-benar ingin perjuangkan PTPTN untuk anak muda, adakah ada tempoh masa (untuk laksana) strategi sebenar?”

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*