{VIDEO} Curi kertas undi, pemilihan Pemuda Umno Titiwangsa diadakan semula

Pemilihan Pemuda Umno Titiwangsa terpaksa diadakan semula ekoran berlaku kekecohan berhubung kertas undi pada Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) Titiwangsa Zaharah Adnan berkata, kekecohan berlaku apabila terdapat lebihan kertas undi semasa pendaftaran ekoran keengganan jawatankuasa Pemuda bahagian menerima pendaftaran dilakukan oleh pihak JPU.

Malah, katanya, terdapat paksaan daripada pihak AJK Pemuda bahagian supaya pendaftaran daripada pihak mereka juga diterima pakai.

“Akhirnya ia menimbulkan kekecohan sewaktu pengiraan undi dilakukan,” katanya kepada FMT.

“Berlaku insiden ugut-mengugut antara AJK Pemuda bahagian dengan pihak JPU menyebabkan suasana terlalu tegang sehingga penyelesaian tidak dapat dicapai.

“Untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku, maka saya selaku pengerusi JPU Titiwangsa telah menggantung pemilihan Pemuda kepada suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.”

Sementara itu, bercakap kepada FMT, Pengerusi JPU Shahrir Samad berkata, pihaknya belum menerima bantahan daripada Umno Titiwangsa berhubung kekecohan yang berlaku.

Katanya, jika tiada bantahan sehingga Selasa, maka pihak yang menimbulkan kekecohan itu akan dipanggil oleh parti.

“Belum terima laporan. Hanya melihat video tanpa apa-apa penjelasan. Ia mengundang pelbagai spekulasi dan proses pemilihan terkesan.

“Minta Pemuda dan JPU Titiwangsa perjelas perkara itu,” gesanya.

Sejak semalam, tersebar beberapa klip video memaparkan keadaan tegang antara Zaharah bersama seorang lagi wakil JPU Titiwangsa dengan kumpulan Pemuda Umno Titiwangsa.

Video berkenaan tersebar di aplikasi Whatsapp sejak tengah hari semalam tanpa butiran lanjut.

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*