Ucapan penggulungan Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli di Dewan Rakyat hari ini yang terselit ‘teguran’ terhadap inisiatif kerajaan terdahulu mengundang kemarahan Ahli Parlimen pembangkang.
Keadaan menjadi kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bangun menyampuk dan ada yang meminta izin untuk mencelah.
“Apabila harga siling telur, contohnya yang diperkenalkan pentadbiran lepas, walaupun niatnya itu hanyalah untuk seketika saja, ia sampai ke peringkat seperti mana kita telah dengar iaitu kos pengeluaran seekor ayam atau sebiji telur lebih tinggi daripada ditetapkan kerajaan.
“Jadi ia mula membawa kesan kepada bekalan ayam dan telur dalam negara.
“Pentadbiran Yang Berhormat (YB) Tambun (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) Insya-Allah kita tak mahu ulangi perkara ini, iaitu sebarang bentuk campur tangan kerajaan membabitkan kawalan harga, tidaklah boleh sehingga memusnahkan rantaian bekalan dan mengakibatkan ketiadaan bahan mentah di pasaran.
“Saya dan YB Tambun dan Kota Raja (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu) terbabit setakat ini dalam usaha kita percepatkan penyelesaian kepada kebergantungan import makanan ayam supaya masalah ini tak berulang.
“… yang tak diusahakan sahabat-sahabat di seberang sana sepanjang 33 bulan mereka berada dalam kerajaan, sehingga kita ada masalah ini sekarang,” katanya, menggulung perbahasan Titah Diraja bagi kementeriannya.
Mohd Rafizi turut menyelar Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai tidak melakukan apa-apa ketika menjadi menteri terdahulu, apabila menyentuh mengenai pembukaan 800 ekar tanah untuk diusahakan golongan B40 dan miskin tegar.
“Sekarang dalam tempoh pendek, kita akan bermula dengan 800 ekar (324 hektar) dulu, dibuka kepada golongan B40 dan miskin tegar untuk mengusahakan tanaman.
“Kita berharap kerajaan negeri termasuk dari pembangkang turut sama menyertai usaha ini untuk tambah lagi lot tanah yang boleh diusahakan segera supaya kita dapat menambah bekalan makanan, bukan semata-mata mengharapkan suntikan subsidi kerajaan untuk menurunkan harga, dalam keadaan kekangan kewangan ditinggalkan YB Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dulu,” katanya.
Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mencelah dengan mengatakan ucapan Mohd Rafizi berkaitan subsidi bercanggah dengan Mohamad serta menyelar Rafizi sebagai retorik atau cakap tak serupa bikin dalam isu kos sara hidup.
Mohd Rafizi: Seingat saya yang nyatakan dia boleh selesaikan masalah (kos sara hidup) satu dua minggu, itu Bagan Serai (Datuk Idris Ahmad) masa dia mula menjadi menteri.
Idris: Apa pula Bagan Serai ini? Jangan bawa cerita pelik-pelik. Bila saya cakap bab ekonomi?
Serentak itu, Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) dan Mohd Syahir Che Sulaiman (Bachok-PN) turut bangun masing-masing menyindir Mohd Rafizi mahu melepaskan diri dan meminta menteri itu mengaku jika tidak boleh selesaikan isu berkenaan, manakala Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) meminta Mohd Rafizi menjawab dengan baik tanpa menyindir kerajaan terdahulu.
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul cuba menurunkan suhu panas itu dengan mengarahkan Ahli Parlimen duduk dan meneliti siaran sidang sebelum ini dalam YouTube bagi menentukan siapa benar.
Mohd Rafizi kemudian menyambung dengan mengatakan Rosol tidak memahami maksud disampaikannya.
“Hulu Terengganu nampaknya tak faham sebenarnya apa disebutkan Kota Raja, Tambun dan saya, beza semasa Hulu Terengganu dalam kerajaan yang diusahakan hanyalah kawalan harga semata-mata.
“Daripada sasaran beberapa bulan oleh kerana tak ada usaha tambah sumber baharu, supaya kita imbangi bekalan, sebab itu dari dua, tiga bulan sampai jadi setahun, hingga kesan kepada bekalan ayam dan telur sekarang.
“Apa diusahakan ialah dari sekitar enam bulan dari sekarang, (mengikut) unjuran kerajaan sumber permintaan dan pembekalan ayam serta telur ini akan stabil, itu membolehkan kita tak lagi memerlukan subsidi dalam tempoh akan datang… itu yang dimaksudkan Kota Raja tetapi diputar belit oleh Hulu Terengganu,” katanya.
Mohd Rafizi berkata, perkongsian angka diberikan pedih untuk didengar pembangkang dan kerana itu pihak berkenaan marah.
Mohd Misbahul: Tak pedih kalau beri angka elok-elok. Perli-perli tu janganlah. Tengok Mat Sabu tadi elok saja cakap
Leave a Reply