{VIDEO} Warga UK dalang sindiket pelaburan RM200 juta dicekup SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket pelaburan antarabangsa didalangi warga United Kingdom (UK) dalam serbuan di 24 premis berasingan, semalam.

Op Tropicana itu dijalankan serentak termasuk di tiga pusat panggilan, syarikat, dan kediaman ahli sindiket di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang tanpa kehadiran pihak polis.

Difahamkan, sindiket yang dipercayai beroperasi sejak 2019 mengaut hampir RM200 juta daripada mangsa, warga Australia dan UK, malah dipercayai memberi suapan kepada pihak berkuasa supaya mereka boleh terus beroperasi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyber Security Malaysia, Telekom Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

“Serbuan dijalankan dengan kaedah risikan ‘ intelligence based investigation’, financial investigation, covert operative, undercover dan beberapa kaedah siasatan digunakan.

Risikan juga dengan kerjasama antara agensi di Australia serta beberapa negara luar dan juga dibuat oleh Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM,” katanya.

Turut baca : Buat tuntutan palsu RM2 juta rekrut pelajar masuk universiti, suami isteri ‘dicekup’ SPRM

Azam Baki berkata, modus operandi sindiket adalah menawarkan portfolio pelaburan tidak wujud menerusi iklan di media sosial dan ahli sindiket terdiri daripada warga Australia, Britain, Afrika Selatan dan Filipina.

“Mereka dipercayai telah memperdaya mangsa dengan meyakinkan mereka supaya melabur ke dalam syarikat pelaburan yang tidak wujud dan syarikat tersebut hanyalah rekaan semata-mata.

“Ini adalah sebahagian daripada sindiket antarabangsa yang dipercayai menipu mangsa di seluruh dunia sehingga RM1 bilion,” katanya.

Sementara itu, Pengarah AMLA SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin yang mengetuai serbuan mengesahkan 11 suspek disyaki terbabit dalam kegiatan itu ditahan, manakala 70 individu lagi ditahan JIM.

“Sebanyak 74 akaun milik individu dan syarikat dibekukan, dianggarkan berjumlah RM11 juta.

“Permohonan reman terhadap semua individu akan dilaksanakan pada 22 Februari (Rabu),” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*