SPRM rekod keterangan pengguna TikTok dakwa Wan Saiful ditawar RM10 juta

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil keterangan seorang pengguna TikTok yang menuduh Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan ditawar RM10 juta bagi menganiayai Muhyiddin Yassin dalam satu kes rasuah.

Mohamad Shafiq Abdul Halim mendakwa sebagai pembantu penyelidik Wan Saiful membuat tuduhan itu dalam satu video pendek di TikTok.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memberitahu Utusan Malaysia, Shafiq hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya sebelum keterangannya diambil.

“Ya, SPRM telah ambil keterangan Mohamad Shafiq,” kata Azam.

Azam berkata, walaupun Shafiq sudah meminta maaf tetapi beliau sama sekali tidak akan berkompromi dengan tuduhan dibuat kerana disifatkan sebagai fitnah dan tidak bertanggungjawab.

Semalam, Shafiq memohon maaf dan berkata, dakwaan itu hanyalah berdasarkan khabar angin semasa di mahkamah, SPRM menawarkan RM10 juta kepada Wan Saiful untuk menukar kenyataan bagi menganiayai Muhyiddin.

Wan Saiful minta dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan inisiatif Jana Wibawa.

Beliau juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan meminta suapan melibatkan projek bernilai RM232 juta berkait inisiatif berkenaan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*