{VIDEO} 23 maut akibat puting beliung di Mississippi

Sekurang-kurangnya 23 maut, manakala puluhan lagi cedera akibat puting beliung dan ribut petir kuat yang melanda Mississippi semalam, kata agensi pengurusan kecemasan negeri itu selepas ia meninggalkan kesan kerosakan lebih 160 kilometer (km).

Agensi Pengurusan Kecemasan Mississippi menerusi siri ciapannya di Twitter melaporkan, empat individu masih hilang, selain pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sedang mengalihkan runtuhan untuk mencari mangsa terselamat selepas ribut melanda Silver City di barat Mississippi.

“Malangnya, angka (kematian) dijangka berubah,” katanya.

Pasukan SAR menjalankan misi pencarian di Rolling Fork yang turut terjejas akibat kejadian itu, lapor CNN.

“Saya belum pernah lihat keadaan seperti ini. Di sini adalah bandar kecil yang sangat hebat, dan kini ia sudah lenyap,” kata mangsa, Brandy Showah kepada CNN.

Sekurang-kurangnya 24 laporan mengenai puting beliung disalurkan pemerhati ribut kepada Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, semalaman.

Gambar kemusnahan diterbitkan rangkaian berita menunjukkan keseluruhan bangunan musnah, manakala kereta terbalik dan orang ramai memanjat runtuhan dalam kegelapan.

Gabenor Tate Reeve menerusi ciapannya di Twitter berkata: “Ramai di MS Delta memerlukan doa anda serta perlindungan Tuhan.

“Kami sudah mengaktifkan pasukan perubatan perubatan, selain melancarkan lebih banyak ambulans dan aset kecemasan lain untuk mereka yang terjejas. Misi SAR sedang aktif dijalankan,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*