PN pertaruh Sanusi ‘poster boy’ bagi PRN Kedah

PAS mempertaruhkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sebagai “poster boy” Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di negeri itu.

Beberapa pemimpin PAS yang dihubungi memberi bayangan bahawa Muhammad Sanusi akan menjadi satu-satunya calon ‘poster boy’ bagi mempertahankan kerajaan negeri Kedah.

“MB (menteri besar) akan jadi poster boy untuk PAS dan juga PN untuk mempertahankan kerajaan negeri Kedah.

“Setakat ini tiada pemimpin lain, hanya beliau,” kata salah seorang pemimpin PAS pusat yang enggan namanya didedahkan.

Seorang lagi pemimpin PAS pusat yang dihubungi turut menyatakan perkara sama.

“Muhammad Sanusilah poster boy kita,” katanya ringkas.

Sabtu lalu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan Muhammad Sanusi dilantik sebagai pengarah pilihan paya PN bagi menghadapi enam PRN.

Muhammad Sanusi yang turut serta pada program berkenaan turut mendedahkan bahawa calon menteri besar akan diketengahkan sebagai poster boy PN.

PRN yang dijangka akan diadakan selewat-lewatnya Ogos tahun ini membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Sementara itu, Setiausaha PAS Kedah, Musoddak Ahmad mengesahkan yang Muhammad Sanusi akan menjadi poster boy PN bagi PRN Kedah.

“Setakat ini macam itulah,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

“Prestasi kepimpinan dan sokongan rakyat kepada menteri besar melayakkan beliau untuk diangkat sebagai poster boy,” tambahnya lagi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*