“Tupai pasti jatuh ketanah…” Lebih 50 kali pecah tabung masjid, dua rakan akhirnya dicekup

Lebih 50 kali pecah tabung masjid, dua rakan akhirnya dicekup. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Itu peribahasa yang menggambarkan kelicikan dua penganggur yang sering melakukan jenayah pecah tabung masjid.

Selepas lebih 50 kali melakukan kegiatan itu di beberapa lokasi, kedua-dua suspek yang terdiri daripada wanita berusia 27 tahun dan lelaki berusia 29 tahun itu akhirnya ditangkap selepas memecah tabung sebuah masjid di Kampung Begia, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, kedua-dua mereka ditangkap pada pukul 4.44 petang semalam selepas polis menerima laporan daripada pihak pengurusan masjid.

“Kedua-dua suspek itu mengaku terlibat dalam kes pecah tabung masjid di sekitar Sik, Yan, Pendang, Baling, Kota Setar dan Padang Terap. Mereka sering melakukan perbuatan itu dengan menaiki kereta Proton Iswara berwarna kelabu milik suspek berusia 27 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Abdull Razak, hasil siasatan terhadap kedua-dua suspek, mereka mengaku mula terlibat dalam kegiatan terbabit sejak Disember tahun lalu.

Katanya, pemilik kereta tersebut turut mempunyai status dikehendaki bersangkut laporan polis di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan di Yan.

“Saringan awal air kencing ke atas mereka mendapati positif dadah jenis methamphetamine dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 380,” katanya.

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*