Tiga Pakistan maut dirempuh ketika ke masjid bersolat raya

TIGA lelaki warga Pakistan maut, sementara tiga lagi parah dirempuh sebuah kereta ketika berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri pada pagi Rabu.

Kejadian berlaku di Kilometer 16 Jalan Teluk Intan-Bidor, Teluk Intan, Perak apabila kereta jenis Proton Saga terbabas dan terlanggar enam warga Pakistan yang sedang berjalan kaki di bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 8.10 pagi.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri bahu jalan dan terlanggar enam pejalan kaki yang melalui bahu jalan tersebut.

“Akibat kemalangan itu, tiga daripada mereka yang berusia antara 20 hingga 35 tahun disahkan meninggal dunia, manakala tiga lagi cedera parah dan dirawat di Hospital Teluk Intan.

“Semua mangsa mempunyai permit dan dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ahmad Adnan berkata, ujian saringan air kencing terhadap pemandu Proton Saga mendapati lelaki berkenaan positif ganja dan polis bertindak menahan suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Amirrudin Shafiei di talian 013-9126959 atau 05-6122222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, turut tular satu video di media sosial memaparkan pemandu berkenaan dibelasah beberapa orang lelaki warga asing dipercayai rakan kepada mangsa.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*