Tiada parti politik dibenar buka cawangan di universiti

Kerajaan tidak akan membenarkan mana-mana parti politik menubuhkan cawangannya di kampus universiti, kata Menteri Pengajian Tinggi Khaled Nordin.

Khaled berkata demikian sebagai respons kepada Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang dalam perbahasannya menentang cadangan untuk membenarkan perkara itu kerana menurutnya ia akan merosakkan demokrasi di kampus.

“…Mengenai penubuhan cawangan (parti politik di) universiti, maknanya rata-rata bersetuju tak boleh, tak wajar diwujudkan cawangan politik dalam universiti.

“Jadi, saya anggap itu satu keputusan yang diterima oleh semua. Saya beri jaminan takkan ada cawangan parti politik ditubuhkan dalam universiti,” katanya ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat hari ini.

Keputusan itu bertentangan dengan kenyataannya pada awal Mac ini yang memberi gambaran bahawa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak menolak kemungkinan akan memberi kelonggaran untuk parti politik menubuhkan cawangan di kampus universiti.

Pada sidang Parlimen 2 Mac lalu, Khaled ketika menjawab soalan tambahan Islahuddin Abas (PN-Mersing) berkata kelonggaran diberikan termasuk kepada parti politik untuk berbuat demikian.

Pada sidang hari ini, kenyataan Khaled kemudian dicelah oleh Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang meminta agar ada sedikit kelonggaran terutama dari aspek kenyataan yang dibuat oleh pelajar dan pensyarah.

“Mengenai pelajar, saya sambut baik tapi mengenai pensyarah, ia tertakluk kepada peraturan sebagai penjawat awam, bukan bawah Auku (Akta Universiti dan Kolej Universiti) tetapi di bawah undang-undang lain,” kata Khaled.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) kemudian meminta jaminan bahawa tiada pemimpin politik yang disekat untuk berjumpa dengan pelajar, memandangkan menurutnya pemimpin pembangkang sering dihalang untuk berbuat demikian.

Khaled menjelaskan bahawa ia tidak tertakluk di bawah bidang kuasa kementerian, sebaliknya mereka perlu mendapatkan kebenaran pihak pentadbiran universiti.

“Ini selalu ada salah faham. Bila kita (ahli politik) nak masuk dalam universiti, sesiapa saja harus maklumkan dengan naib canselor atau pihak berkuasa universiti.

“Maklumlah nak masuk rumah orang… kementerian kita (KPT) tak jaga benda-benda ini sebab itu adalah di bawah bidang kuasa dan autonomi universiti. Saya sarankan (ia) tak ada masalah tapi maklumkan (kepada universiti), sekurang-kurangnya mereka tahu,” katanya lagi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*