Syarikat Touch ‘n Go diarah ambil 6 tindakan segera

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meminta syarikat pengendali sistem Touch ‘n Go (TNG) untuk mengambil enam tindakan segera bagi menyelesaikan isu berhubung perkhidmatan yang ditawarkan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ini termasuk advokasi bagi menjelaskan kepada pengguna bahawa kad visa TNG hanya untuk tujuan pembelian barangan dan perkhidmatan serta pengeluaran wang, dan tidak boleh digunakan bagi tujuan pembayaran tol serta pengangkutan awam.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan menyarankan supaya nama kad visa tersebut diubah supaya tidak mengelirukan pengguna memandangkan perkataan ‘Touch ‘n Go’ sinonim dengan sistem pembayaran tol.

“Pada hari ini telah berlangsung sesi libat urus antara KPDN bersama pegawai dari Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Suruhanjaya Persaingan Malaysia dan wakil syarikat TNG.

“Mesyuarat Pasukan Tugas Khas ini telah dipengerusikan Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof. Pelbagai isu berhubung perkhidmatan yang ditawarkan khususnya terhadap pengguna-pengguna lebuhraya telah dibincangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Salahuddin berkata, antara permasalahan yang diutarakan pada mesyuarat berkenaan adalah kesukaran untuk memperolehi kad TNG dan peranti Smart Tag di pasaran, tempoh tamat kad TNG yang tidak disedari oleh pengguna terutama untuk mereka yang menggunakan MyKad dan kesukaran mendapatkan bayaran balik baki wang dalam kad TNG.

Permasalahan lain merangkumi proses pemindahan baki ke kad TNG yang baharu mengambil masa yang lama, isu berkaitan penggunaan kad visa TNG terutama bagi pembayaran tol, penjualan kad TNG di platform atas talian oleh pihak ketiga pada harga yang berlipat kali ganda, masalah laluan di lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang tidak lancar serta kesukaran isi ulang baki TNG.

Justeru, Salahuddin berkata, pihak TNG diarahkan untuk melaksanakan tindakan segera seperti menambah bilangan pusat jualan kad dan perkhidmatan kad TNG di lokasi selain pusat sedia ada di KL Sentral dan Bangsar, serta advokasi dan notifikasi awal kepada pengguna bagi pemakluman tempoh kad yang akan luput.

“(Tindakan lain adalah) menambah baik kaedah dan mempercepatkan proses serta tempoh bayaran balik dan pemindahan baki, selain arahan telah dikeluarkan kepada penyedia perkhidmatan pasar atas talian untuk menurun iklan jualan kad TNG daripada pihak ketiga yang tiada kebenaran menjual daripada pihak syarikat TNG,” katanya.

Beliau berkata, pihak TNG juga diberi tempoh satu minggu untuk menghasilkan pelan tindakan susulan seterusnya.

Menurutnya, Bahagian Penguatkuasaan KPDN akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menjual kad TNG melebihi harga ditetapkan oleh pengeluar di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Sementara itu, Salahuddin berkata, KKR sedang meneliti tempoh pelaksanaan bagi penggunaan pembayaran tol menggunakan sistem RFID sepenuhnya di semua plaza tol.

“Syarikat konsesi perlu segera menambah baik keupayaan teknologi imbasan RFID bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.

Turut baca : 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*