Suami pukul isteri hingga maut di Selangor, ditahan di Johor

Suami pukul isteri hingga maut di Selangor, ditahan di Johor. Seorang lelaki yang disyaki memukul isterinya hingga mati di Kajang, Selangor ditahan polis ketika bersembunyi di Johor semalam.

Suspek berusia 32 tahun itu disyaki melarikan diri ke Johor untuk mengelak ditahan pihak berkuasa, selepas mengetahui isterinya meninggal dunia.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata, risikan polis mendapati suspek berada di Johor sebelum serbuan dibuat semalam.

“Kami juga menjalankan beberapa siri serbuan dalam tempoh tangkapan dibuat, termasuk merampas barang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes ini,” katanya menurut Utusan Malaysia selepas Majlis Perbarisan Ulang Tahun ke-7 Polis Bantuan Sime Darby Property Berhad di Padang Kawad Universiti Putra Malaysia, Serdang.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan polis memburu seorang lelaki yang disyaki memukul isterinya dengan objek tumpul sehingga maut di sebuah pangsapuri di Sungai Long, Kajang pada 21 Julai lalu.

Menurut laporan, suspek menghantar mangsa yang lebam di seluruh badan dan tidak sedarkan diri ke hospital swasta sebelum melarikan diri.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*