Sindiket perdagang manusia, bekas ahli politik dicekup

Gambar sekadar hiasan

Bekas ahli politik antara 11 individu yang berselindung di sebalik pusat pemulihan alkohol dan dadah di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, ditahan Khamis lalu kerana disyaki terbabit dalam sindiket pemerdagangan orang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pusat pemulihan itu diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada 12.10 tengah malam.

Katanya, seorang daripada suspek itu ialah bekas ahli politik berusia 50-an yang bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-14.

“Namun, (dia) kalah serta hilang wang pertaruhan, jadi kita tidak mahu ia dipolitikkan pada masa ini.

“Didapati pusat pemulihan dua tingkat itu tidak berdaftar dan bekas ahli politik itu adalah pengasasnya, malah polis juga masih menyiasat mengenai pemilikannya,” katanya dipetik Harian Metro dalam sidang media di IPK Pulau Pinang, George Town.

Beliau berkata, sindiket itu beroperasi hampir dua tahun lalu dan menyasarkan individu yang mempunyai masalah ketagihan dadah serta alkohol.

Menerusi serbuan pada Khamis lalu itu, Shuhaily berkata, polis menyelamatkan tujuh individu yang disyaki mangsa pemerdagangan orang dan menahan seorang lelaki.

Katanya, hasil siasatan membawa kepada beberapa siri serbuan yang dijalankan bersama IPK Kedah, di mana seorang wanita dan enam lelaki ditahan, manakala tiga lagi mangsa diselamatkan.

Susulan itu, satu lagi serbuan dijalankan di daerah Timur Laut pada 8.25 malam tadi, dengan dua lelaki dan seorang wanita ditahan, sementara tiga lagi mangsa diselamatkan.

“Keseluruhan mangsa yang berjaya diselamatkan ialah 13 orang berusia 22 hingga 62 tahun dan polis masih menyiasat dari mana mangsa berasal.”

Katanya, semua mangsa yang diselamatkan itu dipaksa bekerja di kedai kereta, servis pendingin hawa, kedai kayu dan kedai makan tanpa dibayar gaji serta tiada cuti rehat.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan fizikal mendapati kebanyakan mangsa mempunyai kesan kecederaan akibat dipukul dan ada waris yang membayar RM1,200 hingga RM1,500 untuk individu itu menjalani pemulihan di sana.

Antara barangan dirampas ialah rotan, rantai besi serta mangga, paip pvc, besi penyambung katil, komputer riba, telefon bimbit, dokumen dan jaring besi bersama kad penghuni.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

Turut baca :

Sindiket perdagang manusia, bekas ahli politik dicekup

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*