Kerap terputus bekalan air di Johor, warganet minta bantuan TMJ

Warganet merayu penyelesaian segera daripada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, susulan gangguan bekalan air besar-besaran sejak Jumaat lalu yang menjejaskan lebih 100,000 isi rumah di sekitar sini.

Semalam, seorang warganet dalam catatan Twitternya kepada Tunku Ismail berkata, isi rumah di Plentong and Bandar Seri Alam terputus bekalan air selama tiga hari.

“Kami nak masak, mandi, solat semua tak ada air. Batang hidung lori air pun memang tak nampak,” katanya.

Susulan itu, berpuluh-puluh pengikut tampil mengadu, dengan ramai daripada mereka mengkritik kerajaan Johor atas kelewatan menyelesaikan masalah itu.

Seorang daripadanya berkata, tidak mengapa jika hanya 24 jam, tetapi sekarang sudah tiga hari dan mereka menghadapi masalah besar dalam menjalani rutin harian.

“Kata kunci di sini ialah tiga hari tanpa air.”

Dalam maklum balasnya, Tunku Ismail menghantar tweet jawapan daripada pihak berkuasa air negeri, Ranhill SAJ Sdn Bhd yang diarah menyelesaikan masalah itu secepat mungkin dan memantau keadaan secara teliti.

Beliau turut meminta penjelasan pejabat tanah di Johor Bahru dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang.

“Saya diberitahu masalah itu timbul selepas insiden paip besar pecah. Ini telah menjejaskan bekalan ke Bandar Seri Alam, Nusa Damai dan Taman Rinting. Ranhill SAJ sedang berusaha keras menyelesaikan perkara itu dengan segera.

“Syarikat itu turut menghantar lori tangki air ke kawasan terjejas dari semasa ke semasa sehingga masalah selesai,” katanya.

Seorang warganet dalam tweetnya berkata, keadaan hanya berubah selepas campur tangan Tunku Mahkota Johor yang lebih dikenali sebagai TMJ, manakala seorang lagi mempertahankan kerajaan Barisan Nasional dengan berkata, lori tangki air turut dikerahkan ketika hujan lebat.

Dilaporkan lebih 50 kawasan di Plentong, Masai dan Tanjung Langsat mengalami gangguan bekalan air sejak Jumaat lalu akibat paip pecah di Bandar Seri Alam.

Semalam, Ranhill SAJ berkata, cubaan untuk memperbaiki paip itu ditangguhkan akibat tanah runtuh di lokasi terbabit.

“Kerja baik pulih paip pecah terpaksa dilanjutkan ekoran beberapa insiden luar jangka, iaitu runtuhan cerun tanah di lokasi kejadian. Ini mengakibatkan kerja baik pulih terhenti dan sekaligus memberi kesan kepada kelewatan proses membaiki paip pecah,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Penduduk dimaklumkan ia mungkin mengambil masa dua hingga tiga hari lagi, sebelum bekalan air pulih sepenuhnya.

Setakat ini, kawasan masih terjejas tanpa bekalan air membabitkan lebih 62,000 isi rumah di Bandar Seri Alam, Taman Rinting, Taman Siera Perdana, Plentong, Plentong Baru, Taman Ria, Permas Jaya, Kota Puteri, Megah Ria, Cahaya Kota Puteri, Senibong Cove , Teluk Tropikana, Taman Johor Jaya, Taman Desa Harmoni, Plentong Tengah, Taman Saujana Plentong, Taman Molek dan Taman Redang.

Ranhill SAJ berkata, ia akan terus menghantar lori tangki air ke kawasan terjejas dari semasa ke semasa.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*