Si kitol pembelot negara telah dikenal pasti, nama akan diserah pada SPRM

Si kitol pembelot negara telah dikenal pasti, nama akan diserah pada SPRM. Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail akan menyerahkan nama seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dikenalpasti menuntut bayaran untuk mengeluarkan dokumen tertentu, termasuk bagi kewarganegaraan.

Katanya, beliau telah menghubungi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki hari ini dan akan menyerahkan nama pegawai tersebut bagi tujuan siasatan lanjut pihak berkuasa.

“Ada nama kita kenalpasti dan akan serah nama pada Azam untuk membantu beliau membuat siasatan.

“(Tindakan ini) untuk buktikan perkhidmatan di JPN penting sesuai dengan keperluan rakyat dan tidak membawa apa-apa bayaran,” katanya pada sidang media Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kelmarin, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata beberapa kakitangan JPN sedang disiasat selepas mereka didakwa menuntut bayaran untuk mengeluarkan dokumen tertentu, termasuk bagi kewarganegaraan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, berkata tidak adil menuduh Jabatan Imigresen dan JPN mengamalkan rasuah tanpa menyiasatnya terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, jika ada mana-mana pegawai kerajaan termasuk daripada JPN meminta bayaran, beliau meminta orang awam membuat aduan kepada SPRM.

Beliau juga tidak menolak mungkin tindakan meminta bayaran itu menjadi “amalan” sebelum ini.

“Kita kenal nama pegawai didakwa terlibat. Sebab pihak yang diminta duit itu menghubungi kita memaklumkan nama (pegawai) tersebut yang minta sejumlah wang.

“Kita periksa wujud nama itu. Sebab itu kita serah nama pada Azam selepas perdana menteri membangkitkan perkara itu,” katanya

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, beliau memandang serius amalan rasuah segelintir anggota dalam imigresen dan menyerahkan kepada SPRM untuk jalankan siasatan.

“Insiden di KLIA, Jemaah menteri ambil perhatian serius tentang perkara tersebut. Jemaah menteri akui komitmen tinggi, kerjasama baik dan disiplin pegawai Jabatan Imigresen berada tahap baik.

“KDN sedia kerjasama sepenuhnya dengan SPRM untuk teruskan siasatan,” katanya.

Berhubung sekumpulan 125 banduan di sebuah penjara di utara tanah air yang mendakwa didera warden, Saifuddin enggan mengulas lanjut kerana perkara itu perlu dibawa dalam mesyuarat.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*