Buru segera si kitol pembelot negara

PENDEDAHAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai dua jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang disiasat pihak berkuasa berhubung amalan rasuah serta salah guna kuasa tidak boleh dipandang remeh.

Apatah lagi, jenayah tersebut melibatkan proses untuk mendapatkan sijil warganegara bagi mereka yang layak mendapat status tersebut tetapi dikenakan pula bayaran tertentu.

Walaupun bilangan pegawai yang tidak berintegriti itu dikatakan terlalu kecil berbanding keseluruhan penjawat awam, namun impaknya cukup besar dan perlu dicegah sebelum parah.

Ia menunjukkan kelompok kecil itu ‘sangat mudah dibeli’. Perbuatan mereka bukan sahaja mencemar dan menjejaskan imej pentadbiran dua jabatan berkenaan, malah terus menerus memberikan persepsi negatif kepada masyarakat. Ia ibarat ‘seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit’.

Bayangkan, melepaskan pendatang asing tanpa dokumen masuk ke dalam negara oleh agensi berkaitan, kita boleh lihat kesannya termasuklah jenayah sosial dan ia turut menjejaskan keselamatan negara.

Justeru, siasatan menyeluruh perlu dilakukan tanpa gentar, dengan tulus tanpa sebarang campur tangan atau pilih kasih agar dua agensi berkenaan bersih daripada elemen rasuah dan salah guna kuasa.

Tindakan tegas harus diambil tanpa kompromi terhadap sesiapa sahaja yang bersekongkol dalam jenayah tersebut dengan mengheret mereka ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman maksimum.

Amalkan sikap ‘suka menjaga tepi kain orang’. Jangan takut membuat laporan berkenaan rasuah meskipun perasuah dan penerima rasuah itu adalah ketua jabatan masing-masing.

Ingat, penjawat awam dilantik bukan untuk menerima rasuah atau menjadikan jawatan sebagai ‘lubuk cari duit’ tetapi menjalankan perkhidmatan kepada rakyat serta negara.

Harus diingat, individu tidak berintegriti akan menjadikan apa sahaja agensi sebagai pusat ‘kutipan wang’. Ia tidak hanya berlaku di JPN atau Jabatan Imigresen. Ia boleh terjadi di mana-mana agensi sekalipun.

Kerajaan perlu tegas dan menggandakan usaha memerangi rasuah kerana golongan ini diibaratkan sebagai si kitol pembelot yang boleh memusnahkan negara.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*