Setelah jadi mangsa berita palsu, Siti Nurhaliza serah pada pihak berwajib buat siasatan

Penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan berhubung penyebaran berita palsu mengaitkan dirinya dengan sebuah majlis politik di Kedah.

Kata Siti, dia tidak menyangka apabila ada individu atau pihak yang berani membuat suntingan menggunakan nama dan gambar profil yang diambil di Facebook (FB) semata-mata untuk mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

“Saya tidak sangka boleh keluar (berita palsu) dan orang berani buat suntingan sebegitu. Sebab kalau mahu kata ada orang godam, memang tiada apa-apa hantaran seperti itu dalam FB saya.

“Pelaku memang buat suntingan sendiri untuk mengeluarkan berita palsu seperti itu. Jadi, saya serahkan kepada pihak berwajib memandangkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil juga sudah mengeluarkan kenyataan dan akan mengambil tindakan,” katanya kepada BH Online.

Mengakui terkilan dengan perkara itu, Siti berkata, dia masih berhati perut dan hanya menyerahkan siasatan kepada pihak berwajib supaya dapat dikekang pada masa akan datang.

“Apabila perkara ini terjadi memang rasa terkilan dan sedih, tetapi tidak mengapa sebab mungkin dahulu saya hanya selalu memberi amaran sahaja terutama dalam media sosial.

“Saya masih berhati perut dalam perkara ini. Apabila menteri sendiri sudah mengutarakan perkara ini, jadi saya serahkan kepada pihak berwajib,” katanya ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Global Station Sdn Bhd di Kemensah Heights, Ampang, semalam.

Jelas Siti, mungkin disebabkan selama ini hanya memberi amaran dalam media sosial menyebabkan ada pihak yang masih berani menggunakan namanya untuk tujuan penyebaran berita palsu.

“Disebabkan saya hanya memberi amaran mungkin ada orang masih berani untuk melakukan perkara seperti ini. Kalau tidak keluarkan kenyataan, orang lain pun boleh nampak ia adalah perkara tidak sepatutnya.

“Semua sudah menjadi suara saya, sama ada peminat dan netizen sudah faham. Tidak mengapa saya serahkan semuanya kepada pihak berwajib,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti kini masih dalam persiapan untuk menjayakan Konsert Satu Suara Vol 3 yang bakal berlangsung di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza pada 13 Mei ini bersama Jay Jay dan Ernie Zakri.

Jelas Siti, dia bakal tampil dengan single baharu khas buat penonton yang hadir pada konsert anjuran Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd itu.

“Saya akan sampaikan satu lagu baharu yang masih belum diperdengarkan kepada umum. Jadi, siapa yang datang konsert akan menjadi orang pertama mendengarkan lagu baharu daripada album saya.

“Ia adalah lagu solo bergenre balada. Sekarang ini juga penjualan tiket masih lagi berlangsung sebab saya pun faham orang masih beraya dan mengeluarkan belanja untuk persiapan raya,” katanya.

Turut baca : Siti Nurhaliza jadi mangsa berita palsu

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*