“Ada yang tak kena ni…” Tak masuk akal tiba-tiba bekalan gula di Kelantan, Terengganu ‘ghaib’

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan masalah bekalan gula di Kelantan dan Terengganu.

Menurut Datuk Seri Salahuddin Ayub, pihaknya masih menerima aduan mengenai kekurangan bekalan walaupun stok gula telah ditambah sebelum ini.

Oleh yang demikian, Salahuddin mengarahkan kementeriannya untuk menjalankan siasatan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Tindakan tegas juga bakal diambil sekiranya ada pihak yang tidak bertanggungjawab menjadi punca kekurangan bekalan.

“Walaupun stok gula mencukupi untuk bekalan di negeri Kelantan dan Terengganu, namun banyak aduan diterima (bahawa) tiada bekalan.

“Ada yang tak kena ni. Saya telah arahkan KSU (Ketua Setiausaha) dan KPP KPDN untuk lancarkan operasi segera bagi atasi masalah ini.

“Cari punca masalah dan tindakan tegas akan diambil,” tegas Salahuddin menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di akaun rasmi Twitter miliknya.

Salahuddin sebelum ini memaklumkan bahawa masalah kekurangan bekalan gula paket 1 kilogram (kg) di negeri Pantai Timur itu sudah diatasi.

Beliau juga memberi jaminan bahawa harga gula tidak akan dinaikkan dan rakyat boleh membeli bekalan bahan asasi itu pada harga yang ditetapkan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*