Seleweng RM12,000 wang masjid, bekas bendahari diheret ke mahkamah

Seorang bekas bendahari sebuah masjid di Kluang, Johor, didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan menyalahgunakan wang milik masjid berjumlah RM12,000, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Syaharullah Ismail, 44, yang bekerja sebagai pemandu lori mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, Syaharullah yang ketika itu memegang jawatan bendahari Masjid Al Ubudiah Kampung Sri Machap didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu wang milik masjid berkenaan berjumlah RM12,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 12 Nov 2022, antara jam 9.16 hingga 9.17 malam di sebuah bank di Jalan Dato Kapten Ahmad di Kluang.

Syaharullah didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan dengan sebatan, serta boleh juga dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Zahida Muhammad menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Kluang.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, K Bharathi yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh tidak mempunyai gaji tetap, selain isteri bekerja sebagai guru dan tiga anak masih bersekolah.

Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dipohon pendakwaan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*