Sarang judi online ‘digempur’, 40 orang ditahan

Polis menggempur sarang perjudian dalam talian menerusi beberapa serbuan di Lembah Klang dan menahan 40 individu disyaki terbabit dengan sindiket berkenaan, baru-baru ini.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata operasi itu dijalankan dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

“Tangkapan merangkumi 17 lelaki dan seorang wanita tempatan serta 15 lelaki dan enam wanita warga China.

“Sindiket ini didapati menyediakan platform perjudian dalam talian yang menyasarkan warganegara Taiwan.

“Pelanggan yang berminat untuk bertaruh dikehendaki membuat pemindahan wang ke akaun keldai dipercayai berpangkalan di China,” katanya.

Beliau berkata, pelanggan akan diberi ‘point’ untuk membuat taruhan selepas pembayaran dibuat kepada akaun keldai berkenaan.

Noorsiah berkata, sindiket berkenaan didapati turut menjalankan perkhidmatan pengurupan dengan menukar matawang kripto Tether Token (USDT) dan menghantar semula matawan berkenaan ke China.

Beliau berkata, antara yang dirampas ialah 88 unit telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM29,587, tunai bernilai AS$5,000, seketul jongkong berwarna keemasan, kereta (tiga), jam tangan (tiga), beg tangan (tiga), dan komputer pelbagai jenama.

“Semua suspek berusia antara 20 hingga 58 tahun direman enam hari bermula 20 Mei lalu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 429 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*