Salahuddin : ‘Menu Kasih Sayang’ digunapakai di restoran tak halal

Inisiatif makanan mampu milik Menu Rahmah akan diperluaskan ke restoran tidak halal untuk memenuhi keperluan bukan Islam, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, menu di restoran tidak halal itu mungkin akan diberi nama Menu Kasih Sayang.

“Jika di restoran tidak halal nanti tak akan kita nak letak Menu Rahmah juga, jadi tak kena la. Persatuan peniaga Cina mahu menawarkan menu ini mencadangkan Menu Kasih Sayang,” katanya ketika menggulung usul Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Salahuddin berkata, pihaknya terbuka untuk mengadakan sesi libat urus dengan mana-mana persatuan Cina lain untuk menawarkan menu makanan mampu milik itu.

Beliau juga menolak persepsi bahawa makanan pada harga RM5 itu tidak berkualiti.

“Pasaraya Mydin sebagai contoh, banyak premis mereka ada Jualan Rahmah, jadi ‘multiply effect’ (kesan berganda) berlaku. Orang datang tak hanya makan menu RM5, tetapi pada masa sama akan membeli barang lain, menyebabkan situasi menang-menang itu berlaku.

“Alhamdulillah dengan Menu Rahmah RM5 sebenarnya adalah sesuatu besar maknanya kepada rakyat. Menu Rahmah itu adalah satu hidangan premium,” katanya.

Salahuddin berkata, menu makanan dengan harga mampu milik bukanlah perkara baharu dan sudah dimulai ketika zaman pentadbiran terdahulu cuma namanya berbeza iaitu ada dipanggil menu bajet, menu 1Malaysia dan sebagainya dimana perkara baik diteruskan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*