Saifuddin bidas Hadi, ‘parti kamu yang bermasalah, sering keluar gabungan’

PAS dilihat sebagai parti bermasalah kerana sering keluar gabungan apabila tidak berasa serasi dan sejarah sudah membuktikannya, kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

“Dalam sejarah, PAS berkawan dengan parti lain dan membentuk gabungan, selalunya yang terkeluar itu PAS. Maksudnya yang bermasalah bukan parti lain tapi PAS sendiri.

“PAS boleh kata dia pegang prinsip, dia tidak korban (prinsip), hakikatnya setiap kali dia berkawan, setiap kali itu dia keluar,” katanya.

Saifuddin mengulas kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa parti itu bukan rumah tumpangan sementara waktu yang boleh dipergunakan pihak lain untuk melakukan jual-beli politik.

PAS sebelum ini bekerjasama dengan PKR dan DAP atas tiket Pakatan Rakyat, namun gabungan itu terbubar pada 2015 selepas DAP dan PAS tidak lagi sehaluan.

Selepas kalah pada PRU 2018, PAS dan Umno memeterai Piagam Muafakat Nasional pada akhir 2019 namun kerjasama atas platform penyatuan ummah itu juga gagal apabila PAS menyertai Bersatu membentuk Perikatan Nasional pada 2020, selepas lima bulan di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata PAS tidak boleh menganggap parti itu sebagai rumah tumpangan, kerana hakikatnya tidak ada parti yang menumpang mereka.

“Saya menepis sama sekali andaian Hadi bahawa dia menghulurkan salam perpaduan dengan syarat PAS tak dijadikan rumah tumpangan, sejarah membuktikan sebaliknya,” katanya.

Saifudin turut berkata, pendirian PAS sentiasa berubah dengan mengambil contoh sikap parti itu terhadap DAP ketika bersama dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

“Masa (PAS) bersama Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, DAP adalah parti yang banyak berjasa, ketika PAS keluar, DAP menjadi musuh Islam.

“Kalau DAP musuh Islam, bagaimana Hadi menjelaskan pada 1999 dia berkawan dengan DAP sehingga 2008 dalam Pakatan Rakyat. Adakah dalam tempoh itu Hadi berkawan dengan musuh Islam,” soalnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*