Guan Eng : Muhyiddin dianggap ‘penipu dan pengecut’ jika gagal namakan menteri DAP mahu kes Jill digugurkan

Pengerusi DAP Lim Guan Eng mencabar Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menamakan menteri DAP yang menurutnya menghubungi mereka untuk cuba menyelesaikan kes Jill Ireland di luar mahkamah.

Ini bagi menjawab dakwaan Muhyiddin bahawa perkara ini berlaku semasa dia menjadi menteri dalam negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya cabar dia menamakan orang itu. Jika dia gagal menyebut siapa menteri itu, dia penipu dan pengecut,” kata Lim.

Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini mendakwa dia telah menolak cadangan itu, kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu kes Ireland diselesaikan di mahkamah.

Semasa pentadbiran PH, Ireland – seorang Kristian Melanau dari Sarawak – sedang menunggu keputusan Mahkamah Tinggi mengenai permohonannya untuk pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak untuk menggunakan perkataan “Allah”.

Kes itu diputuskan memihak kepadanya pada 2021 ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri.

Bekas menteri kerja raya era PH Baru Bian – yang merupakan ahli PKR ketika itu – berkata selepas keputusan mahkamah bahawa kabinet telah memutuskan untuk menyelesaikan kes Ireland di luar mahkamah pada 2019.

Ini selepas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan ketika itu Daim Zainuddin bertemu peguam yang mewakili Ireland dan Sidang Injil Borneo (SIB), yang dilaporkan bersedia untuk mencari penyelesaian.

Bagaimanapun, Baru berkata Muhyiddin telah menolak penyelesaian di luar mahkamah.

Bekas menteri kerja raya itu tidak menyatakan siapa yang membawa kes itu untuk dibincangkan dalam kabinet.

Lim berkata menteri DAP sibuk dengan portfolio masing-masing, tiada satu pun yang berkaitan dengan kes Ireland.

Pengerusi DAP itu turut mengkritik Muhyiddin kerana cuba mengaitkan DAP dalam pertikaian baru-baru ini berhubung keputusan kerajaan menarik balik rayuannya dalam kes Ireland.

“Dia muflis dari segi politik, sebab itu dia cuba bawa isu perkauman dan mencetuskan sentimen,” katanya.

Lim telah menyaman Muhyiddin pada Mac selepas presiden Bersatu itu mendakwa dia telah membatalkan status pengecualian cukai Yayasan AlBukhary.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*