7 soalan paling banyak ditanya ketika temuduga kerja ‘bocor’. Menghadiri temuduga melibatkan jawatan kosong merupakan satu pengalaman yang akan dilalui setiap individu yang sedang berusaha mendapatkan pekerjaan.
Walaupun setiap sesi temuduga yang kita hadiri dikelolakan oleh individu-individu berbeza, realitinya wujud satu bentuk persamaan dalam soalan yang biasanya diajukan oleh bakal majikan kepada kita – sama ada kita sedar atau tidak ia berlaku.
Ini kerana soalan sebegini kerap diguna bagi membantu penemuduga meramal dan menduga individu sebenar disebalik resume dan CV cemerlang, sama ada benar-benar berketrampilan atau hanya sekadar cantik atas kertas.
Berikut adalah 10 soalan paling kerap ditanyakan ketika temuduga, supaya anda tahu lebih awal dan bersedia menjawabnya dengan baik, tidak hanya melopong sahaja.
1. “Ceritakan serba sedikit tentang diri awak”
Pencari kerja perlu sedar, semua informasi tentang kita sebenarnya sudah tersedia pada penemuduga. Jadi kenapa mereka masih ingin menanyakan soalan ini?
Ini kerana soalan ini memberikan anda peluang untuk bercerita tentang pilihan yang telah anda buat; kenapa anda sedang menghadiri temuduga itu walaupun anda sudah ada pekerjaan? Kenapa anda memilih pusat pengajian yang anda hadiri?
Kenapa kelayakan yang telah anda perolehi seiring dengan keperluan yang ada dalam organisasi majikan. Hubungkan jawapan anda dengan informasi yang terkandung dalam resume anda – bukan dengan hobi, makanan kegemaran atau artis kegemaran anda.
2. “Apa kelemahan terbesar anda?”
Kesilapan utama yang biasa berlaku dalam menghadapi soalan ini adalah apabila calon cuba menggunakan kelemahan, sebagai kekuatan. Sebagai contoh – ‘kelemahan saya adalah saya bekerja terlalu kuat.’
Jangan jawab soalan ini dengan jawapan sebegini. Jawab dengan jujur.
‘Kelulusan saya belum mencapai tahap yang saya harapkan. Saya kurang pengalaman dalam bidang ini tetapi saya yakin saya boleh belajar.’
Jawab soalan sebegini dengan sesuatu yang berkait dengan kelemahan sebenar anda, yang berkait dengan aspek atau skop jawatan yang anda minta.
‘Saya susah nak bangun pagi’ atau ‘saya tidak cekap mengawal masa saya’ merupakan dua jawapan bunuh diri yang patut dielakkan.
3. “Di mana anda lihat diri anda 3 tahun atau 5 tahun dari sekarang?”
Sebagai individu yang pernah menemuduga ramai calon, soalan ini pada pandangan penulis sebenarnya tidak relevan kepada sesi temuduga. Ini kerana apa saja jawapan yang diterima, sepatutnya tidak akan memberi kesan kepada hasil temuduga.
Ramai calon akan menceritakan tentang visi mega mereka, seolah terlupa mereka sedang ditemuduga untuk menjadi seorang pekerja. Ada juga calon yang memilih untuk menjawab dengan ringkas ‘saya harap saya masih di sini, jika tuan/puan terima saya’ dan jawapan ini pun sebenarnya tak apa.
Jawab saja soalan ini dengan sebaik mungkin yang anda rasakan sesuai.
4. “Kenapa cari kerja lain?”
Ini soalan perangkap yang perlu dinavigasi dengan berhati-hati. Soalan ini menguji diri anda dalam aspek melindungi informasi sulit daripada dihamburkan.
Ada calon yang tidak segan mahu bercerita tentang keburukan majikan dan pejabat lama mereka, tetapi tindakan sedemikian hanya memburukkan reputasi calon di depan bakal majikan. Tidak menjawab soalan ini juga satu kelemahan besar.
Jawapan terbaik kepada soalan ini adalah dengan menyatakan anda sedang cuba menukar angin, ingin berkhidmat di tempat baru.
Antara faktor lain yang mungkin membantu hujah soalan ini adalah faktor lokasi, gaji, reputasi syarikat dan memperkembangkan karier ke tahap lebih tinggi.
5. “Kenapa kami perlu lantik anda, bukan calon lain?”
Seperti soalan nombor 3, soalan sebegini sebenarnya tidak patut ditanya oleh penemuduga namun masih popular penggunaannya. Ini kerana calon hadir secara sendirian, tidak tahu siapa pesaing mereka.
Seandainya mereka tidak tahu, bagaimana seorang calon mampu menjawab soalan ini dengan lebih efektif?
Sama seperti soalan awal yang kami maksudkan, anda bebas menjawab soalan sebegini dengan apa saja bentuk jawapan yang anda rasakan sesuai. Cuma, jangan cuba sekali pun menjawab soalan ini dengan membandingkan diri anda dengan calon lain secara terus – walaupun soalannya sebegitu rupa.
Jawablah soalan ini dengan menegaskan aspek diri anda yang belum diangkat atau dipetik oleh penemuduga.
6. “Anda ada apa-apa soalan kepada saya/kami?.”
Takut kan dengar soalan sebegini terpacul dari mulut penemuduga? Kita sebagai calon biasanya akan memilih untuk bersikap sopan berkata ‘tidak ada.’
Jangan buat begitu! Tidak menggunakan peluang tersebut untuk bertanya sebenarnya memberikan persepsi kepada penemuduga, bahawa minat anda untuk menjawat jawatan di sana sebenarnya tidaklah 100%.
Mulakan jawapan kepada soalan ini dengan bertanya bakal majikan tentang perkara yang boleh membantu anda menangani kelemahan anda, seperti adakah syarikat menyediakan bantuan untuk anda menyambung pengajian, cuti khusus jika perlu menghadiri latihan/kelas dan peluang dibuka syarikat untuk anda berkembang sebagai pekerja.
Selepas mendapat jawapan kepada soalan tersebut, beranikan diri untuk bertanya semula kepada penemuduga tentang isu yang timbul berkaitan skop kerja jawatan dibincang dan juga cabaran yang pernah dilalui penemuduga, semasa dia berkhidmat di sana.
Tengok apa pula jawapan mereka.
7. “Berapa jangkaan gaji anda?”
Fuh! Ini soalan paling mendebarkan. Kita sebagai calon sebenarnya dah ada satu angka dalam kepala, tetapi apa yang merisaukan kita – angka itu agak jauh larinya berbanding jangkaan bakal majikan. Betul kan?
Pertama sekali soalan sebegini biasanya memerlukan calon ada amaun tetap disebutkan. Jangan sama sekali biarkan soalan ini dijawab tanpa ada satu bentuk amaun dilafaz.
Untuk mengetahui amaun yang berpatutan, lakukan penyelidikan terlebih dahulu. Dapatkan tangga gaji syarikat itu sekiranya ada dikongsi di laman web pekerjaan sebagai perbandingan. Ketahui juga apakah julat standard gaji pekerja dalam jawatan sama secara am.
Jangan meletakkan jawapan anda terlalu rendah, kelak anda yang bakal rugi. Meletakkan angka terlalu tinggi melebihi pasaran juga memungkinkan anda hilang peluang. Dapatkan nilai purata yang ada berkadar dengan pengalaman dan kelulusan anda lalu tambahkan RM300 ke RM500.
Angka itu membolehkan majikan dan anda bermain tarik-tali dalam menetapkan satu amaun. Jangan sama sekali sebut RM3000 dan menjangkakan gaji anda RM3000. Sekiranya anda ditanya kenapa anda dapat angka sebegitu, jelaskan tentang komitmen bulanan yang perlu anda penuhi.
Sekiranya penyelidikan anda tentang topik gaji mantap, besar kemungkinan angka yang anda sebutkan dilihat munasabah membolehkan anda diambil bekerja.
Turut baca : Cubaan bangkit isu kalimah Allah ‘makan diri’
Leave a Reply