Cubaan bangkit isu kalimah Allah ‘makan diri’

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pembangkang apabila mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan mengelirukan dalam isu kalimah Allah di Dewan Rakyat Mei lalu.

Ia selepas Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) mendakwa, Anwar tidak merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum menarik balik rayuan dalam kes Jill Ireland.

Katanya, ia bersandarkan kenyataan media Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 7 Jun 2023 – di mana Zulkafperi mendakwa, kenyataan itu seperti membawa maksud bahawa “keputusan kerajaan tidak merujuk Majlis Raja-Raja”.

Menjawab hal itu, Anwar menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak menipu apatah lagi mengelirukan Dewan dalam isu kalimah Allah, kerana hakikatnya beliau memang merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum menarik balik kes rayuan tersebut.

Jelasnya, titah Sultan Selangor bahawa keputusan isu kalimah Allah akan dirujuk ke Majlis Raja-Raja adalah berkenaan soal pindaan, bukan soal penarikan rayuan kes.

“Kenyataan itu kalau baca betul-betul tak akan mengelirukan pun dan memang dirujuk ke Agong. Pertamanya adalah melalui perjumpaan.

“Kali kedua pula pada 7 Februari, di hadapan Jemaah Menteri, saya menelefon Agong tentang keputusan baru iaitu nak merujuk kepada Majlis Raja-Raja dalam soal pindaan. (Kena) faham lah (isu).

“Yang saya menghadap Sultan Selangor atas Titah Tuanku, itu bukan soal keputusan lama (tarik rayuan mahkamah). Tanjong Karang faham tak ni, Sultan Selangor tu Sultan kamu. (Kamu) di Selangor, baca!,” tegurnya dalam sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Zulkafperi pada awalnya membawa usul untuk merujuk Ahli Parlimen Tambun itu ke Jawatankuasa Hak dan kebebasan Parlimen atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan.

Sementara itu Anwar menjelaskan, oleh kerana Kerajaan Malaysia mahu membuat pindaan terhadap beberapa peraturan dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN), maka baginda Sultan Selangor memberi pandangan bahawa sebaiknya pindaan yang hendak diperkemas itu dibawa dahulu ke Majlis Kemajuan Islam supaya Baginda Sultan sendiri akan persembah ke Majlis Raja-Raja.

“Apa yang bertentangan ini? Nak putar belit dan tipu rakyat sebab apa? Nak dapat keuntungan politik jangan dengan menipu.

“Sekarang bila ada usaha nak memperkemas peraturan, itu yang kita rujuk (Sultan). Tetapi Sultan Selangor berpendapat dan saya bersetuju, iaitu lebih baik pindaan itu diteliti oleh Majlis Kemajuan Islam, kemudian baru diangkat untuk pertimbangan Raja-Raja.

“Dan Baginda menyebut (bahawa) tidak difikirkan ada masalah sama sekali kerana akan memperaku keputusan Majlis Raja-Raja yang terdahulu dan akan hanya memperkemas supaya tidak ada kekeliruan lagi,” ujarnya.

Turut baca : Tok Mat tanya Annuar Musa, ‘Apa bukti dua juta ahli UMNO keluar parti’

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*