Proses tender terpilih projek tebatan banjir jimatkan RM1.8b – PM

Proses tender terpilih untuk cadangan projek rancangan tebatan banjir (RTB) akan membolehkan penjimatan RM1.8 bilion kepada kerajaan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata peruntukan RM15 bilion untuk RTB menerusi rundingan terus tanpa tender menyebabkan kos projek melambung.

Justeru, dia berkata Kementerian Kewangan (MOF) diarah berunding semula dengan syarikat berkaitan menerusi proses tender terpilih.

“Bayangkan RM1.8 bilion boleh diselamatkan dari projek RM15 bilion. Ini isu tata kelola yang baik, pimpinan harus pastikan jangan ada ketirisan, bukan soal politik tetapi soal rakyat.

“RM1.8 bilion kalau dipulangkan kepada penjaja, bayangkan…,” katanya pada Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (HPPK 2022), di Putrajaya semalam.

Menurut Anwar soal tata kelola dan kebertanggungjawaban pengurusan kewangan perlu diutamakan dalam pemerintahan dan membela nasib rakyat.

Pada 6 Dis lepas, Anwar mengarahkan kelulusan mutakhir projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion daripada keseluruhan peruntukan RM15 bilion yang dilaksanakan menerusi rundingan terus supaya diteliti semula.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*