Pertahan idealisme, PH ‘tutup pintu’ kerjasama dengan PN

Pertahan idealisme, PH ‘tutup pintu’ kerjasama dengan PN. Pakatan Harapan (PH) menegaskan, keputusan mereka untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) adalah muktamad.

Menurut Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, ia sudah pun diputuskan menerusi mesyuarat PH pada Rabu lalu.

“Mesyuarat PH pada Rabu lepas, dah buat keputusan noktah, maksudnya kita akan terus berkempen dan masuk pilihan raya sebagai PH.

“Kita sedia maklum sentimen rakyat sebab sentimen rakyat bukan soal siapa berkuasa, rakyat nak satu pembawaan yang benar-benar berjuang untuk mereka,” katanya di Stadium Paroi, Seremban semalam, menurut Sinar Harian.

Program itu turut dihadiri Naib Presiden PKR yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, jika alasan untuk mengadakan kerjasama dengan PN adalah untuk menumbangkan BN, ia tidak akan menjadikan kerajaan baharu yang stabil.

“Kami dah kena dulu malah rakyat juga sudah tahu bahawa kalau niat itu tidak betul maksudnya hanya menggunakan alasan untuk menumbangkan BN tetapi dasar, jiwa itu tidak kena dan serasi dengan masing-masing, kerajaan itu tidak akan stabil.

“Kami daripada dulu jadi pembangkang, jadi tidak ada jadi isu untuk kita dan macam saya sebut tadi misi kami berbeza.

“Kami hendak mencerdikkan rakyat, kami rasa bahawa fungsi untuk memperbaiki keadaan itu ambil masa, satu peringkat ke satu peringkat bukan semata-mata soal menjadi perdana menteri menjadi kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak pasti sama ada isu mengenai kerjasama itu masih dibincangkan dalam kalangan pemimpin lain.

“Pemimpin yang muda macam saya ini orang kata tak ada seni berpolitik, jadi kalau kami kata noktah, noktahlah. Kami tak pusing tapi pimpinan lain saya tak tahulah, mereka lebih lama, umur lebih senior. Jadi saya tak tahu kalau mereka berbincang lagi atau apa.

“Tetapi keputusan rasmi memang noktah, maksud noktah tu muktamad lah,” katanya.

Semalam, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin membuat saranan agar semua parti pembangkang mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan PN menjelang PRU ke-15.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, apa yang penting pihaknya hanya mahu pertahankan idealisme.

“Menang atau kalah itu belakang kira, kami hendak pertahankan idealisme kami tetapi saya tak boleh bercakap bagi pihak DAP dan Amanah.

“Mereka pemimpin senior yang sudah ada pengalaman berpuluh tahun, ia terpulang kepada mereka. Saya hanya berpegang kepada keputusan di peringkat PH yang memang noktah (tiada kerjasama PN),” katanya.

Pertahan idealisme, PH 'tutup pintu' kerjasama dengan PN

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*