Seorang peniaga maut dibunuh dengan parang dan taser gun oleh empat individu di dalam rumahnya di Jalan Imam Abdul Aziz 5, Taman Jaya, Kapar di sini hari ini.
Mayat mangsa berusia 38 tahun itu ditemui dalam keadaan meniarap di hadapan sebuah bilik tidur.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.39 pagi.
Katanya, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati empat suspek lelaki telah masuk ke rumah mangsa dengan bersenjatakan parang dan taser gun.
“Seorang lagi suspek berada dalam kereta jenis Perodua Myvi berwarna merah dengan nombor pendaftaran tidak pasti.
“Mayat mangsa ditemui terbaring tertiarap di hadapan bilik tidur,” katanya.
Beliau menambah, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, adik mangsa yang enggan dikenali berusia 33 tahun yang ditemui di lokasi kejadian memaklumkan dia hanya mengetahui kejadian tersebut sebaik dimaklumkan salah seorang anak mangsa berusia 20 tahun.
“Memang terkejut dengan kali terakhir saya bertemu abang adalah seminggu yang lalu.
“Setahu saya, abang tiada musuh dan kami pun tidak tahu puncanya abang dibunuh,” ujarnya.
Turut baca :
Leave a Reply