Peniaga lakukan kekerasan, serang wartawan undang padah

Peniaga lakukan kekerasan, serang wartawan undang padah. Seorang peniaga mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan menyerang dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap wartawan sebuah portal berita, Jumaat lalu.

Tertuduh, S. Subramaniam, 41, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyerang dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa seorang lelaki berusia 24 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di Seremban Jaya di sini pada pukul 7 malam, 11 November lalu.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Sejurus pengakuan bersalah direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 ke atas tertuduh atas pertuduhan tersebut dan difahamkan tertuduh membayar denda itu.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd. Azman manakala tertuduh diwakili peguam Asmawi Ismail.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, seorang lagi suspek telah dibebaskan sebagai saksi kes.

Sebelum ini, media melaporkan sekumpulan wartawan sebuah portal berita yang sedang membuat liputan pilihan raya calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Rasah telah diugut oleh dua lelaki dalam keadaan mabuk di sebuah restoran di Taman Seremban Jaya di sini petang Jumaat lalu.

Dalam kejadian pada pukul 7 malam itu, mereka diugut supaya tidak membuat liputan media di situ sebelum salah seorang daripada wartawan telah ditolak, dibaling gelas, botol arak dan kasut.

Turut baca :

Peniaga lakukan kekerasan, serang wartawan undang padah

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*