Pengampunan diraja saya tak boleh ‘dicabar’, Sanusi diberitahu

Anwar Ibrahim membantah permohonan difailkan Sanusi Nor supaya Mahkamah Tinggi menentukan persoalan undang-undang berkaitan pengampunan diraja yang diberikan kepada presiden PKR itu, lima tahun lepas.

Permohonan tersebut dikemukakan susulan saman fitnah Anwar terhadap menteri besar Kedah itu berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.

Menurut Anwar, permohonan Sanusi mengenai pengampunan diraja yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong terhadapnya (Anwar) pada 16 Mei 2018 adalah di luar bidang kuasa mahkamah.

Perdana menteri berkata berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Perkara 181, memperuntukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan adalah kuasa yang tetap dan tidak terjejas.

“Terdapat pelbagai kes di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan yang mendukung prinsip perundangan itu dengan memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh mengesahkan atau mevariasikan apa-apa keputusan Yang di-Pertuan Agong.

“Ia termasuk keputusan untuk memberikan saya pengampunan, secara langsung membuktikan bahawa mahkamah tidak mempunyai apa-apa bidang kuasa untuk berbuat demikian,” katanya menerusi afidavit jawapan yang difailkan pada 25 April lepas menerusi Tetuan SN Nair di Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Anwar menegaskan bahawa permohonan Muhammad Sanusi adalah tidak relevan, remeh, mengaibkan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah untuk membuat keputusan ke atas perkara-perkara yang tidak boleh diputuskan.

“Selaras pengampunan diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018, saya diampunkan secara penuh dan segala keburukan ke atas diri saya termasuk rekod-rekod mahkamah adalah diketepikan dan apa-apa kenyataan menyentuh perkara sama adalah fitnah serta boleh diambil tindakan,” kata Anwar menerusi afidavit itu.

Pada 31 Mac lepas, Sanusi memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk menentukan beberapa persoalan undang-undang antaranya sama ada pengampunan diraja diberikan kepada Anwar pada 16 Mei 2018 adalah satu pengampunan penuh yang boleh mengetepikan sabitan kes jenayahnya.

Permohonan itu difailkan Sanusi antaranya atas alasan berdasarkan rekod-rekod yang dirujuk olehnya, tidak terdapat sebarang bukti bahawa pengampunan tersebut secara efektif mengakas kesemua atau sebahagian sabitan jenayah serta memadam kesemua rekod sabitan jenayah lampau Anwar.

Sementara itu, peguam Yusfarizal Yusoff, yang mewakili Sanusi ketika dihubungi Bernama berkata pengurusan kes ditetapkan pada 28 Jun ini di Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Pada 13 Dis tahun lepas, Anwar selaku plaintif menyaman Sanusi, berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.

Anwar dalam pernyataan tuntutannya mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

Menurut plaintif kenyataan-kenyataan itu dibuat dengan berniat jahat bertujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang PRU15 pada 19 Nov tahun lepas.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*