LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu lebih tegas dalam penguatkuasaannya dan memastikan semua individu yang layak membayar cukai mereka tanpa mengira kedudukan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, adalah penting bagi LHDN untuk menepis tanggapan bahawa orang kaya dan berkuasa selamat daripada sebarang bentuk penguatkuasaan.
“Saya selalu cakap, jalankan tugas awak. Sama ada dia seorang Ahmad, Ah Seng, Tan Sri atau Tun, lihat sama ada mereka membayar cukai atau tidak.
“Jika mereka tidak membayar cukai, (audit) mereka dan ambil tindakan,” katanya pada majlis di ibu pejabat LHDN di sini pada Jumaat (1 Mac).
Terdahulu, Anwar mengimbas kembali perkhidmatan beliau sebelum ini sebagai Menteri Kewangan dari 1991 hingga 1998, apabila beliau melawat LHDN, yang ketika itu hanyalah sebuah jabatan kerajaan.
“Saya dimaklumkan bahawa banyak syarikat gergasi dan terkenal di negara ini mendapati sukar untuk membayar cukai. Ada yang bayar penuh tapi ada yang bayar separuh sahaja. Hal ini kerana mereka itu terlalu besar… gergasi, naga, siapa berani singgung.
“(Tapi) Kepimpinan LDHN berani dan mengambil tindakan mengambil tindakan walaupun terhadap perniagaan besar. Atas komitmen dan pengorbanan mereka, saya mengambil keputusan untuk menaik taraf LHDN daripada jabatan kepada agensi,” tambahnya.
Terdahulu, Anwar berkata, Malaysia mempunyai antara nisbah cukai pendapatan kepada keluaran dalam negara kasar terendah di rantau ini iaitu 11.2 peratus, berbanding Singapura (12.6 peratus) dan Thailand (16.4 peratus).
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, LHDN mencatat rekod kutipan cukai pendapatan tahun lepas, membawa masuk RM183.34 bilion, peningkatan RM7.8 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Menurutnya, sehingga Disember lalu, 5.7 juta pembayar cukai individu membayar sejumlah RM40.96 bilion, manakala 539,113 syarikat membayar cukai berjumlah RM98.77 bilion.
Sementara itu, Anwar berkata ,Program Khas Pengakuan Sukarela sedang dijalankan LHDN menerima 68,806 pengisytiharan sukarela membabitkan jumlah RM610.62 juta setakat 15 Februari lalu.
“Tidak dinafikan bahawa inisiatif baharu LHDN telah meningkatkan hasil negara,” katanya.
Pada masa sama, Anwar berkata, Jabatan Kastam dan LHDN telah memperluaskan inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (Sara), dengan penerima bantuan meningkat kepada lebih 700,000 berbanding 210,000 tahun sebelumnya.
“Saya berharap penerima tidak melupakan sumbangan LHDN, Jabatan Kastam dan agensi kerajaan lain,” katanya.
Pembayar cukai individu dan bukan individu boleh mengemukakan penyata cukai mereka untuk tahun taksiran 2023 melalui e-Filing bermula Jumaat.
Turut baca :
Leave a Reply