Momokan hanya PAS dan BERSATU yang mampu menyatupadukan orang Melayu dan Islam di negara ini satu ‘khurafat’ paling besar yang mesti ditolak rakyat.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata kedua-dua parti di bawah Perikatan Nasional (PN) itu melepaskan peluang apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya semua parti politik membentuk Kerajaan Perpaduan
Namun, katanya, sehingga hari ini pemimpin PAS dan BERSATU masih sekadar bercakap mengenai soal perpaduan Melayu dan Islam.
Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, selepas Kerajaan Perpaduan terbentuk, perpaduan dalam kalangan orang Melayu dan Islam yang menjadi tonggak negara ini turut terbentuk, dan selepas setahun, kesatuan itu terbukti terus kukuh.
“Saya ingin ingatkan BERSATU dan PAS. Jangan kalian ingat untuk bersatu padunya rakyat, Islam dan orang Melayu, hanya dengan (menyokong) kamu. Bukan hanya dengan kamu, Melayu dan Islam dimartabatkan.
“Soal Melayu dan Islam bukan hak milik cipta terpelihara orang PAS dan BERSATU. Ia milik semua rakyat Malaysia dan perpaduan adalah hasrat untuk kita menyatakannya.
“Jangan kamu kata, kalau nak Islam dan Melayu bersatu, dengan PN, PAS dan BERSATU baru jadi. Ini ‘khurafat’ paling besar yang tuan-tuan kena lawan.
“Siapa saja yang menjadi kerajaan, maka Islam dan Melayu tetap terbela kerana inilah tonggak bagi negara ini dan termaktub dalam Perlembagaan. Jadi, jangan kita terpengaruh dengan bisikan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen AMANAH Selangor 2023 di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi AMANAH Selangor, Izham Hashim.
Selain itu, Mujahid berkata, satu tugas berat pemimpin Kerajaan Perpaduan ialah mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti politik, yang kecewa dengan keadaan politik di negara ini, terutama Langkah Sheraton.
Turut baca :
- Sikap cemburu melampu undang padah, penjual buah bunuh kekasih berdepan tali gantung
- Amang seksual remaja lelaki 17 tahun, PU Azman diperintah bela diri
“Langkah awal kita untuk memenuhi misi ini sudah pun dimulakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin Kerajaan Perpaduan.
“Kita sudah sekurang-kurangnya menyembuhkan rakyat dan kita menyatakan kepada mereka, kami orang politik yang dulunya bergaduh dengan Barisan Nasional (BN) selama berpuluh tahun, kami bersedia untuk duduk semeja walaupun dengan musuh ketat.
“Selain itu, bukan mudah juga untuk BN berjiwa besar, duduk semeja merundingkan perkara yang lebih utama daripada diri mereka,” katanya.
Leave a Reply