Muhyiddin didakwa terima hasil aktiviti haram RM5 juta

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM5 juta berkaitan dengan program Jana Wibawa.

Presiden Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang memakai suit serba hitam didakwa semasa prosiding di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Rozilah Salleh pagi ini.

Pertuduhan pengubahan wang haram, yang dibentangkan di bawah Seksyen 4(1)(b) mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1) akta yang sama.

Pemimpin berusia 76 tahun itu didakwa menerima RM5 juta hasil daripada daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang disalurkan ke dalam akaun Bersatu, pada 7 Jan 2022.

Ahli Parlimen Pagoh itu boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda lima kali ganda daripada jumlah terbabit atau RM5 juta, atau mana lebih tinggi jika didapati bersalah.

Muhyiddin tiba di kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, pagi tadi pada kira-kira pukul 8.20 pagi dengan ditemani isterinya, Noorainee Abdul Rahman serta beberapa pimpinan parti antaranya Ronald Kiandee dan Mohd Radzi Md Jidin.

Kenderaan membawanya tiba di pekarangan diiringi sebuah kereta polis dan empat kereta lain.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin, 75, dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan berkaitan wang dalam akaun Bersatu.

Dia mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan sebagai perdana menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pertuduhan sebagai presiden Bersatu telah menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*