Guan Eng : Muhyiddin perlu kemuka bukti atau disaman

Pengerusi DAP Lim Guan Eng menolak hujah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang mempersalahkannya terhadap kehilangan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary semasa pentadbiran Pakatan Harapan kali pertama.

Ini susulan selepas Muhyiddin mendakwa memandangkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan, perkara berkaitan pengecualian cukai mesti melalui Lim semasa dia memegang jawatan menteri kewangan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim menggelar kenyataan Muhyiddin itu sebagai logik songsang.

“Jika tiada arahan khusus, bagaimana seseorang menteri boleh bertanggungjawab ke atas setiap tindakan yang diambil oleh pelbagai agensi dan GLC di bawah bidang kuasanya?

“Kalau begitu, sebagai bekas perdana menteri, Muhyiddin harus bertanggungjawab atas setiap amalan rasuah yang dilakukan oleh pegawai kerajaan di negara ini.

“Apakah jenis logik songsang dan kelakuan tidak bertanggungjawab ini?” soal Lim.

Pada malam Khamis, selepas dibebaskan daripada tahanan SPRM, Muhyiddin berkata dia akan didakwa atas tuduhan salah guna kuasa kerana memberikan semula pengecualian cukai kepada yayasan yang diketuai oleh hartawan Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Presiden Bersatu itu mendakwa pengecualian cukai itu dibatalkan oleh Lim ketika PH berkuasa pada 2018.

Lim menafikan perkara tersebut dan memberi Muhyiddin sehingga Rabu untuk memohon maaf serta menarik balik kenyataannya itu, atau berdepan dengan tindakan saman fitnah.

Semalam, ahli Parlimen Pagoh itu enggan menarik balik kenyataan tersebut dan mencabar Lim supaya menjelaskan peranannya dalam perkara itu.

Muhyiddin mendakwa Lim kini takut kerana tindakannya mengganggu yayasan kebajikan pimpinan Melayu terbesar di negara ini.

Lim bagaimanapun membalas dengan mengatakan dakwaan itu adalah rekaan dan hasutan.

“Ini adalah dakwaan yang serius bahawa saya bertindak terhadap sebuah yayasan kebajikan Islam. Ia adalah bersifat menghasut kerana dakwaan berkenaan adalah tidak berasas.

“Sekiranya tidak disangkal dengan bersungguh-sungguh, kenyataan berbaur hasutan sebegini boleh menyemarakkan sentimen yang menjejaskan muhibah kaum dan mengancam keharmonian agama,” kata kata Ahli Parlimen Bagan itu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*