Menyamakan Pulau Pinang dengan Kelantan bukti PEMUDA PAS ‘buta fakta’

Kenyataan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohd Firdaus Nawi yang mengutuk kenyataan Ketua Pengarah J-KOM Dato’ Mohammad Agus Yusoff bahawa beliau tidak cermat dalam menyindir Kelantan sebagai negeri yang tidak membangun dan kotor serta menyamakan keadaan di negeri Pulau Pinang adalah sangat tidak berasas dan buta fakta. Fakta yang tidak dapat dinafikan bahawa Kelantan sememangnya berdepan masalah “kotor dengan sampah” akibat kelemahan tatakelola kerajaan pentadbiran PAS ini berbanding negeri Pulau Pinang yang bersih di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Kelantan yang merupakan antara negeri termundur di Malaysia adalah hasil daripada kegagalan pentadbiran kerajaan PAS dalam memajukan ekonomi tempatan dan membasmi kemiskinan selain turut berdepan isu alam sekitar yang kritikal. Bukan setahun dua, tetapi ianya sudah berlarutan berdekad lamanya. Kerajaan PAS sekarang lebih berminat membeli kereta Mercedes daripada menyelesaikan masalah air, membina stesen bas yang lebih baik dan selesa serta menangani isu alam sekitar akibat pembalakan yang berleluasa.

Selaku ADUN di Pulau Pinang, saya mengalu-alukan Firdaus dan kawan-kawannya daripada PAS untuk membuat lawatan sambil belajar ke Pulau Pinang. Georgetown, misalnya, telah menerima anugerah bandar pelancongan bersih ASEAN pada tahun 2022. Insyaallah, ilmu pengurusan kebersihan daripada Georgetown akan membantu Kelantan ke arah pembangunan yang lebih bersih dan ‘madani’.

Untuk rekod, di bawah pentadbiran PH, Pulau Pinang merupakan antara negari terawal melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa di Punca sejak 2016 lagi. Bagi tahun 2021, Pulau Pinang telah berjaya mencapai kejayaan kadar kitar semula yang tertinggi di Malaysia iaitu 51.18%. Menjelang 2030, ia dijangka naik ke 70%.

Manakala, data saintifik yang diperakui oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan air terawat di Pulau Pinang adalah antara yang terbersih dan selamat. Bukan itu sahaja, kerajaan negeri Pulau Pinang sedang melaksanakan Pelan Kontingensi Air Mentah di mana kapasiti air mentah dijangka meningkat sebanyak 569 juta liter sehari menjelang 2030. Pulau Pinang sedang menuju ke arah bekalan air mentah yang lebih mapan.

Di samping itu, sektor ekonomi Pulau Pinang juga berkembang pesat dengan rekod pertumbuhan ekonomi tertinggi dalam negara pada tahun 2021 pada kadar 7.1 peratus di saat krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19. Sumbangan kepada KDNK pula meningkat kepada kadar 7.1 peratus. Pada tahun yang sama juga, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut melaporkan bahawa Pulau Pinang mencatatkan pelaburan sektor pembuatan sebanyak RM76.22 bilion yang dijangka menghasilkan 12,000 peluang pekerjaan.

Kejayaan Pulau Pinang dalam memajukan ekonomi negeri ini telah menjadikan kehidupan rakyatnya yang sejahtera dan makmur. Di Pulau Pinang, kita tidak mendengar rungutan rakyat berkaitan air kotor, sampah yang tidak terurus ataupun mempunyai masalah peluang pekerjaan. Hasil daripada tadbir urus yang cekap ini, rakyat Pulau Pinang menerima pelbagai bantuan ketika pandemik Covid-19 dengan Pakej Bantuan Khas sebanyak RM176.45 juta dan bajet hal ehwal Islam meningkat saban tahun dan diperuntukkan sebanyak RM75.08 juta bagi tahun 2023.

Walaupun Pulau Pinang sering difitnah dengan sentimen perkauman dan agama, namun hakikatnya orang Melayu hidup dalam keadaan baik di sini dan Islam juga diamalkan dan berkembang dengan begitu baik. Seorang tokoh ilmuan Islam Sheikh Mohammad Abduh menyebut dalam satu ungkapan yang cukup popular “Aku melihat Islam di Eropah, tetapi tidak melihat Muslim, dan aku melihat muslim di negara Arab, tetapi tidak melihat Islam”. Kelantan mungkin maju dengan slogan Islam, tetapi nilai Islam dalam pentadbiran semakin lupus. Bersih dan berkebajikan adalah nilai dan prinsip Islam yang cukup tinggi, tetapi tidak dirasai rakyat di negeri Kelantan.

FAIZ FADZIL

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*