Menghendap kini satu kesalahan jenayah

Menghendap kini satu kesalahan jenayah. Dewan Rakyat meluluskan pindaan ke atas Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah, yang menjadikan tindakan menghendap sebagai satu kesalahan jenayah, di samping menawarkan perlindungan kepada mangsa.

Pindaan Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah (CPC) itu diluluskan dengan sebulat suara selepas dibahas ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Di bawah Seksyen 507A yang baru dalam Kanun Keseksaan, seseorang individu akan dianggap menghendap jika melakukannya berulang kali dengan niat untuk menyebabkan, atau mengetahui atau patut tahu, bahawa perbuatan sedemikian boleh menyebabkan kesusahan, ketakutan, atau kebimbangan kepada mana-mana orang tentang keselamatan mereka.

Ia boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan denda.

Sementara itu, pindaan CPC membenarkan mangsa, peguam mereka dan penjaga kanak-kanak atau orang dewasa yang tidak berupaya untuk mendapatkan perintah perlindungan yang dikeluarkan oleh mahkamah melalui permohonan ex parte.

Dengan perintah itu, suspek pesalah akan dilarang daripada terus melakukan sebarang perbuatan menghendap mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan.

Ini termasuk menghalang individu yang disyaki “daripada mendekati” mangsa atau mana-mana orang lain yang berkaitan atau dikaitkan dengan mangsa pada jarak yang difikirkan munasabah oleh mahkamah.

Kegagalan mematuhi perintah sekatan itu boleh dihukum penjara sehingga satu tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Mas Ermieyati Samsuddin berkata perintah perlindungan itu sah sehingga tamat perbicaraan.

Mas Ermieyati Samsuddin

Sekiranya berlaku tindakan menghendap berterusan selepas perbicaraan, dia berkata mangsa perlu memfailkan perintah perlindungan baharu.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*