Mat Sabu bimbang fahaman mengkafirkan, menyesatkan kumpulan tentu kembali menular. Penularan fahaman takfiri iaitu mengkafir dan menyesatkan kumpulan yang tidak sealiran pemikiran dengan pihak tertentu dibimbangi kembali menular sekali gus boleh merosakkan negara.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, negara luar seperti Syria, Iraq dan Somalia berlaku konflik yang berpanjangan ekoran penularan fahaman berkenaan.
“Kebelakangan ini, Malaysia dilanda dengan fahaman-fahaman yang kurang menyenangkan. Saya boleh mengkritik UMNO, saya boleh menghentam Barisan Nasional (BN), saya boleh kritik atau hentam DAP, tapi hadirin sekalian ada perenggannya jangan sampai dulu berlaku satu ketika sampai ke peringkat mengkafirkan UMNO.
“Saya bimbang fahaman takfiri itu muncul semula sekarang ini. Kita lihat negara-negara di dunia yang hancur atas fahaman takfiri iaitu tidak setuju dengan kita, kita kafirkan orang itu, kita sesatkan orang itu, akhirnya berlaku seperti di Syria, di Iraq, di Somalia. Kalau lihat di Somalia lebih 40 tahun penyelesaian tak dapat dicapai, Iraq dan Syiria sudah melangkau 10 tahun belum lagi selesai konflik antara mereka, antara puak, puak dan mazhab.
“Dua minggu sebelum pilihan raya, saya ke Baghdad menghadiri sidang khas Palestin. Iraq sebuah negara rizab minyaknya yang keempat dalam dunia, tapi negara itu hancur, jalan rayanya pecah, tiang eletriknya condong dan sampah berselerak. Sebab hasil daripada pertelingkahan yang membawa kepada halal darah antara puak itu dan puak ini. (Keadaan ini) menyebabkan hancur sebuah negara yang kaya menjadi negara sebegitu dahsyat porak-perandanya yang cuba dibaiki belum lagi pulih keadaannya. Begitu juga di Afganistan dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada ceramah umum di kawasan parkir pasar besar Rompin di sini, malam semalam.
Mengulas lanjut, Mohamad yang mesra dipanggil Mat Sabu berkata, Malaysia sebuah negara aman dan konflik besar yang berlaku hanya peristiwa 13 Mei dan selepas itu tiada lagi melainkan perbezaan pandangan antara satu sama lain.
“Kebelakangan ini, kita lihat muncul semula, DAP komunis. Kalau mereka komunis bagaimana sekarang mereka memerintah Malaysia bersama Pakatan Harapan (PH), bagaimana DAP juga dalam kerajaan negeri Pahang. Ertinya komunis telah memerintah negeri ini, bagaimana DAP dalam kerajaan di Perak mereka sebahagian dari kerajaan Perak, ertinya komunis telah memerintah Perak. Bagaimana Pulau Pinang metua menterinya DAP ertinya ketua menterinya komunis. Kenapa sampai ke peringkat itu membuat tuduhan kepada parti lawan, ia berbahaya dalam jangka pendek dan jangka panjang.
“Kita lihat pula video terbaharu kalau orang bukan Islam memerintah, orang Islam jadi penggembala babi. Kalau orang Islam yang zalim memerintah, orang Islam jadi pengembala lembu. Hendak jadi penggembala babi atau pengembala lembu? Tanya Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang).
“Apakah ini cara kita berpolitik di zaman ini? Perlu kita baiki sebab negara kita masyarakat majmuk, tersalah langkah terjerumus kepada bahaya. Sebab itulah bagi kita, kita kena tubuhkan kerajaan bersama PH, Barisan Nasional (BN) dan lain-lain parti politik untuk melawan fahaman-fahaman yang boleh merosakkan Malaysia,” tegasnya.
Leave a Reply