Lokman : Tauke perabot dari Pagoh ‘proksi’ Mahiaddin

Pemimpin Umno mendakwa, tauke perabot yang didakwa dengan sembilan pertuduhan rasuah semalam adalah proksi kepada bekas perdana menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam berkata, Datuk Teo Wee Cheng, 65, tauke perabut dari Pagoh, Johor itu sebelum ini juga pernah menerima wang bagi pihak Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), parti yang mendakwa mereka bersih dan best itu.

Dalam siaran secara live melalui facebook beliau, Lokman berkata, ketika perbicaraan kes rasuah yang dihadapi oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, seorang saksi pendakwa berkata, Mahiaddin juga merupakan salah seorang penerima duit dari UKSB.

Lokman : Tauke perabot dari Pagoh 'proksi' Mahiaddin
Lokman Noor Adam yakin akan ada lebih ramai yang akan dihadapkan ke muka pengadilan.

Kata Lokman, ketika peguam Zahid bertanya David Tan dari Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang menjadi saksi pendakwa, siapa lagi yang menerima dana politik dari UKSB, dia berkata Tan Sri Mahiaddin menerima RM1.3 juta.

“Dia kata, Datuk Teo Wee Cheng inilah yang menerima duit bagi pihak Mahiaddin.

“Dia pandai, dia tak collect sendiri duit tersebut tetapi guna orang tengah.

“Cuma kita tak tahu, sepandai-pandai tupai melompat, akan jatuh ke tanah atau tidak,” kata Lokman dalam siaran itu malam tadi.

Bekas pengarah syarikat perabot didakwa di Mahkamah Sesyen di Johor Bharu semalam atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan program Jana Wibawa berjumlah RM12.875 juta antara Julai 2021 hingga November tahun lalu.

Tertuduh, Datuk Teo Wee Cheng, 65, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Bagi pertuduhan pertama dan kelima, Wee Cheng yang juga Pengarah SSH Furniture Sdn. Bhd., didakwa meminta rasuah, masing-masing RM3.975 juta dan RM7.4 juta, iaitu 10 peratus daripada harga sebenar projek menaik taraf jalan di bawah Jana Wibawa.

Tertuduh didakwa membantu Syarikat Muar Usaha Bakti Sdn. Bhd., bagi mendapatkan projek dari Jalan Sawah Baru ke Tenang Stesen, Segamat serta bersetuju melantik Syarikat TS Dynamic Contruction Sdn. Bhd., sebagai sub kontraktor bagi projek dari Jalan Kampung Belukar Durian ke Persimpangan Felda Waha, Sedili, Kota Tinggi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Trimetro Development Sdn. Bhd., Jalan Majidi, Muar antara Julai 2021 dan Mei hingga Jun 2022.

Sebelum ini, media melaporkan, beberapa kontraktor yang disiasat mendakwa mereka dikehendaki membayar kepada sebuah parti politik antara 3 ke 5 peratus dari kos projek yang diberikan kepada mereka.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*