Kontrak bekal kenderaan kerajaan : SPRM beku akaun bank jutawan bergelar ‘Tan Sri’

Kontrak bekal kenderaan kerajaan : SPRM beku akaun bank jutawan bergelar ‘Tan Sri’.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan akaun bank seorang ahli perniagaan yang mengandungi wang berjumlah puluhan juta ringgit dibekukan.

Memetik sumber, Berita Harian melaporkan ia susulan siasatan SPRM membabitkan kontrak diberikan kepada sebuah syarikat pembekal kenderaan kerajaan sejak Julai tahun lalu.

“Lebih 100 akaun persendirian dan syarikat bernilai jutaan ringgit di bawah kawalan tan sri berkenaan dianalisis bagi melihat trend pemindahan wang kepada individu tertentu.

“Daripada jumlah itu, SPRM membekukan beberapa akaun yang jumlahnya dianggarkan puluhan juta ringgit,” kata sumber yang dipetik sebagai berkata.

Menurut laporan itu lagi, SPRM sebelum ini pernah menyerbu kediaman dan syarikat ahli perniagaan berusia lingkungan 70-an bergelar tan sri itu serta merampas dokumen berkaitan kewangan bagi membantu siasatan.

SPRM juga sudah merakamkan keterangan beberapa saksi penting termasuk daripada agensi kerajaan serta individu daripada syarikat terbabit yang sebelum ini memperoleh kontrak membekal serta menguruskan ‘fleet’ kenderaan kerajaan.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim dilaporan mengesahkan perkara itu, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Penamatan LOI

Untuk rekod sejak 1993, sebuah syarikat tunggal, Spanco Sdn Bhd, memegang konsesi untuk membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan.

Namun apabila kontrak tamat pada 2019, tender terbuka dilancarkan untuk penganugerahan kontrak seterusnya.

Berjaya Group dan Naza Sdn Bhd membentuk konsesi dan memperolehi kontrak itu melalui surat hasrat (LOI) pada tahun itu.

Bagaimanapun, LOI ditamatkan pada 2020 dan tender dianugerahkan kepada Spanco.

Pada Julai tahun lalu, pengasas Berjaya Vincent Tan memfailkan saman terhadap Kementerian Kewangan dan Spanco berhubung LOI yang ditamatkan.

Tan juga mendakwa kontrak tersebut dianugerahkan kepada Spanco walaupun harga yang ditawarkan syarikat itu lebih tinggi, sekali gus mendorong SPRM membuka siasatan.

Bagaimanapun, tiada perkembangan mengenai siasatan itu sehingga serbuan dilakukan baru-baru ini.

Masa siasatan itu dilihat bertepatan dengan SPRM yang menyiasat bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan keluarga mereka.

Taikun yang terlibat dalam siasatan itu dikatakan sekutu rapat Daim.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*