Kerajaan bakal tubuh sekretariat tetap tangani isu kos sara hidup rakyat – Salahuddin

Kerajaan akan menubuhkan satu sekretariat tetap untuk merencana pelan strategik bagi menangani isu kos sara hidup rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berhubung pelaksanaan pelan-pelan mengatasi isu kos sara hidup untuk jangka pendek dan panjang antara kedua-dua kementerian.

Beliau berkata, pihaknya sudah merangka pelan berkaitan pertukaran data, melihat kepada kumpulan fokus, dasar seperti pemberian subsidi serta pendidikan yang lebih berfokus kepada pengguna.

“Langkah ini supaya tidak ada salah faham komunikasi antara pihak berkaitan termasuk kementerian ini dan rakyat dalam kita berusaha untuk tingkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima sumbangan barangan makanan asas bagi pihak Food Bank Malaysia daripada syarikat Tamin Sdn. Bhd. untuk membantu mangsa banjir di kawasan terjejas di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor.

Kerajaan bakal tubuh sekretariat tetap tangani isu kos sara hidup rakyat - Salahuddin

Pada sesi penyerahan sumbangan itu, syarikat Tamin Sdn. Bhd. menyumbangkan sebanyak 1 tan barang makanan asas dianggarkan bernilai RM7,300 bagi peringkat pertama yang akan disusuli dengan penghantaran sumbangan seterusnya secara berperingkat.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, melalui penubuhan sekretariat tetap berkenaan, dua kementerian tersebut boleh pada bila-bila masa mengadakan mesyuarat, libat urus, seminar atau bengkel dalam usaha bergerak ke hadapan dengan lebih efisyen.

Selain itu, libat urus bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Kementerian Pengangkutan (MOT) serta Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan turut diadakan.

“Kita juga akan melibatkan 11 lagi kementerian yang wujud dalam Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bagi menjayakan perancangan strategik untuk melahirkan pelan bertindak tangani kos sara hidup,” ujarnya.

Tambah beliau, sekretariat tetap berkenaan akan diketuai ketua setiausaha dua kementerian itu disamping Jabatan Perangkaan serta Unit perancang ekonomi (EPU).

Ketika ditanya sama ada sekretariat berkenaan akan mengganti tugas Pasukan Jihad Menangani Inflasi, Salahuddin berkata, perkara itu belum diputuskan lagi dan tidak memperincikan tempoh sekretariat tetap itu akan diwujudkan atau berfungsi secara rasmi.

#KPDN

Kerajaan bakal tubuh sekretariat tetap tangani isu kos sara hidup rakyat - Salahuddin

 

Kerajaan bakal tubuh sekretariat tetap tangani isu kos sara hidup rakyat - Salahuddin

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*