Kerajaan Arab Saudi sahkan Anwar lakukan lawatan rasmi, dijadual bertemu Raja Salman

Kerajaan Arab Saudi mengesahkan tarikh lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke negara itu, termasuk bagi program kunjungan hormat ke atas Raja Salman Abdulaziz dan Putera Mahkora Mohammed Salman, menurut Wisma Putra.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata pengesahan tarikh itu dimaklumkan menerusi dua nota diplomatik, iaitu daripada Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur kepada Wisma Putra, dan daripada kerajaan Saudi kepada Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh pada 21 Mac.

“Kedua-dua nota diplomatik tersebut merujuk kepada lawatan rasmi perdana menteri pada 22 – 25 Mac 2023 termasuk program kunjungan hormat dengan Raja Salman Abdulaziz dan Putera Mohammed Salman Abdulaziz,” katanya.

Kementerian berkata nota tersebut menyatakan kerajaan Saudi mengalu-alukan lawatan tersebut. “Nota diplomatik merupakan antara komunikasi paling rasmi antara kerajaan dengan kerajaan,” tambahnya.

Wisma Putra menjelaskan bahawa delegasi Malaysia telah dimaklumkan supaya tempoh lawatan dipanjangkan daripada tempoh asal, bagi mengaturkan sesi kunjungan hormat dan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi kerajaan Saudi.

“Bagaimanapun, delegasi Malaysia menjelaskan secara baik bahawa permintaan tersebut tidak dapat dipenuhi disebabkan komitmen-komitmen perdana menteri yang ditetapkan awal sebelum lawatan,” katanya.

Lawatan Anwar ke Arab Saudi sebelum ini telah disifatkan sebagai kegagalan oleh pihak tertentu kerana beliau gagal bertemu Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed.

Kementerian bagaimanapun menyifatkan isu itu dimainkan secara negatif dan tidak adil kepada kerajaan dan kementerian kedua-dua negara, kerana perkara yang dibangkitkan bersifat spekulasi dan menyimpang daripada fakta sebenar.

Jelasnya, persiapan awal telah dibuat meliputi beberapa perbincangan antara Wisma Putra dan kedutaan Saudi, dan antara Kementerian Luar Saudi dengan kedutaan Malaysia.

Menteri Luar Negeri Zambry Abdul Kadir turut membincangkan lawatan Anwar dan kesesuaian tarikh serta perancangan hasil lawatan dengan rakan sejawat, Putera Faisal Farhan pada Februari.

“Perbincangan-perbincangan tersebut telah menyerlahkan kesediaan di pihak Kerajaan Arab Saudi untuk menerima dan menentukan supaya lawatan rasmi perdana menteri berjaya diadakan dan mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Menurut kementerian lagi, sama ada lawatan diadakan sebelum atau semasa Ramadan “tidak menjadi isu” di pihak kerajaan Saudi.

“Perkara ini telah dinyatakan dengan jelas semasa perbincangan,” katanya.

Sebelum ini, bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Anwar tidak sepatutnya melawat Arab Saudi jika pertemuan dengan Raja Salman atau Putera Mahkota Mohammed tidak ditetapkan, menyifatkan perjalanan itu sebagai “kesilapan diplomatik yang besar”.

Khairy juga berkata, seorang perdana menteri tidak akan melawat sesebuah negara sekiranya pertemuaan dengan rakan sejawatnya tidak dijadualkan.

Lawatan itu turut dikritik oleh pemimpin Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menggesa Anwar menjelaskan bagaimana Malaysia mendapat manfaat daripada lawatan beliau ke Arab Saudi.

Ahli Parlimen Machang itu juga mendakwa kegagalan bertemu pemerintah Arab Saudi itu boleh menjejaskan kuota haji dan jualan minyak sawit negara.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*